Friday, June 26, 2015

KY 5102


Assalamualaikum w.b.t

Cerita hari ini bukan pasal hari ibu atau hari apa. Pada aku sambutan hari ibu dan hari bapa itu lebih bidaah jika nak dibandingkan dengan sambutan Maulidur Rasul. Hujah aku kepada geng-geng kengkonon bidaah. Sapa tak kenal Van Putih KY5102 di pekan Guaq Chempedak. Kalau tak kenal maknanya tak betul-betul duduk di pekan Guaq. Mungkin hanya sekadar lahir atau balik sekejap-sekejap sebab kerja di luar negeri atau beliau bersekolah asrama penuh dan jarang-jarang balik ke pekan Guaq.

Sapa tak kenal van yang menghantar roti planta, roti susu, roti benggali, roti potong dan tambahan kek buah serta kek span bila tiba musim raya ke kedai-kedai sekitar pekan Guaq. Van putih ini boleh dikatakan popular lah jugak. Dah macam lori telur. Hampa anak-anak generasi tablet mesti tak faham apa yang femesnya dengan lori telur. Lori telur ini dulunya kira macam kedai telur underground bergerak lah. Kalau beli telur type AA di kedai mungkin 45 sen sebiji tapi kalau beli dekat lori telur mungkin boleh dapat sebiji 30 - 35 sen. Dengan syarat, mesti beli banyak papan.

Begitu jugaklah kisah van putih ini. Penduduk Guaq yang boleh dikatakan berada sikit. Jalan-jalan naik kereta, makan nasi atas meja, minum dalam gelas kaca akan cari stok roti di kedai-kedai biasa. Tapi golongan rakyat marhen selalunya akan datang ke van untuk membeli roti dengan harga lebih murah biar pun hanya 10-20 sen untuk sebungkus roti. Ada harga lebih istimewa pula untuk pelanggan tetap. Walaupun roti-roti ini tidaklah sepopular roti mainstream seperti Gardenia dan Masimo namun qualiti dan rasanya hampir setaraf. 

Cukup cerita pasal van. Pemandu van pula gelap-gelap orangnya. Hidung mancung bermisai lebat. Sikat rambut belah tepi. Sekali tengok macam pelakon hindustan Jackie Shroff. Bila buat lawak, setanding pelakon Imuda yang popular dalam sitcoms Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Isterinya pula membuat kuih tradisional membantu keluarga. Kuih Bahulu. Kuih Bahulu Sariena. Sedap, berdasarkan testimoni pelanggan. Namun kurang dipopularkan kerana bimbang tidak dapat memenuhi kehendak pelanggan yang kian bertambah demi menjaga kualiti rasanya. Namun kalau nak cerita Bahulu Sariena sudah sampai ke luar negara.

Anak mereka. 7 orang semuanya. Dengan Van Putih KY 5102 tu lah. Dari sekolah tadika, sekolah kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan, PLKN. Nasib baik umur van dah melebihi 20 tahun, jadi tak dibawa ke matrikulasi dan universiti. Namun jasanya amat besar. Ahli keluarga, saudara, kawan, kawan kepada ahli keluarga, kawan kepada saudara. Semuanya diangkut. Muat. Tak cukup kerusi. Toto Narita dibentang di ruangan belakang. Jadi Playground untuk anak-anak yang nakal. Nak selesa? letak pulak kusyen empuk di belakang. Apa sahaja semuanya boleh.

Terima kasih KY 5102. 


Friday, June 12, 2015

Sentimen Dalam Beragama

Assalamualaikum w.b.t

Sudah lama saya memerhati akan perkara yang sedang berlaku dalam dunia dakwah Islam di Malaysia. Mudahnya ianya adalah seperti mana berlakunya perselisihan antara ulama dalam PAS, ianya juga berlaku dalam dunia dakwah diluar arena politik.

Perselisihan dalam PAS sebenarnya menonjolkan bertapa nipisnya pemikiran pemimpin-pemimpin dan penyokong. Perselisihan antara ulama dan professional. Upps! Maaf. Dengan kedangkalan ilmu yang saya ada, apa yang saya lihat ia sebenarnya adalah perselisihan ulama pondok/persantren dan ulama graduasi universiti.

Saya melihat perselisihan ini lama kelamaan akan memadamkan kemaraan dakwah Islam yang baru mendapat ruang dan tempat untuk bernafas di negara orang Islam ini. Terlalu ramai orang yang baru nak mengenal Islam dengan anggapan Islam adalah agama yang mementingkan hubungan silaturrahim dan kesatuan umatnya.

Hubungan diantara tokoh keduanya baik. Kita boleh lihat jika mereka bersemuka, apalagi berjamaah dalam solat. Mereka saling menghormati dan berhemat dalam berkata-kata. Yang mengelirukan keadaan sebenarnya adalah ponyokong kuat atau pelajar senior yang cuba tidak faham dengan jelas falsafah disebalik ilmu yang dipelajari. Mereka inilah yang cuba mengapi-apikan keadaan dan menggunakan pelajar-pelajar junior/baru yang nak serta dalam jamaah. Kononnya tanda sayang kepada ulama.

Inilah yang banyak berlaku bila kita hanya berguru dengan guru daripada golongan yang sama. Carilah guru-guru daripada kalangan yang berbeza. Yang komersial yang tidak. Yang graduasi pondok, yang graduasi universiti. Yang kaya dan yang miskin. Barulah kita dapat melihat ilmu dan perbahasannya dari banyak sudut pandangan. Keluarlah merantau mencari guru mencari ilmu. Jangan sombong dengan ilmu yang ada.