Monday, May 12, 2014

Dia Yang Terduduk Di Jejantas Itu

Assalamualaikum

Mereka mungkin pernah hidup seperti manusia biasa. Punya rumah, biarpun kecil. Punya baju-baju yang cukup untuk dipakai, biarpun bukan berjenama. Punya makan yang cukup, biarpun taklah semewah mana.

Aku lihat dia terduduk di pinggiran laluan jejantas dari LRT ke SOGO. Duduk bersama ibunya yang meriba adik kecilnya. Muka ibunya menoleh dari laluan orang, malu mungkin. Aku tengok dia, kaku melihat terus ke depan tanpa menghiraukan orang lalu lalang yang memandang mereka. Di depan dia, ada sehelai kain dihampar, memohon sumbangan ikhlas.

Muka dia merah padam seperti menyimpan dendam. Mungkin bukan permintaan mereka untuk duduk mengemis di jejantas itu. Mungkin mereka "terduduk" di situ. Kasihan. Dia sepatutnya ke sekolah hari itu. Belajar sains, belajar matematik, belajar bahasa inggeris supaya dia kelak mempunyai pengetahuan dan tidak ditipu atau ditindas masyarakat.

Namun hari itu dia bersekolah di jejantas itu, kelasnya tiada kerusi meja. Berteman ibunya, gurunya kita. Kita, orang yang lalu lalang di kawasan laluan jejantas itu. Ada gurunya baik, ada gurunya tak hirau, ada gurunya garang, ada gurunya menyindir dan ada gurunya buruk sangka.

Hari itu dia belajar, bagaimana kalau tak mahu ditindas masyarakat yang menindas.

No comments: