Lama jugak rasanya tak menulis selepas post terakhir dulu. Aku terlalu sibuk menguruskan perkara yang mendatang antara kerjaya utama, iaitu keluarga aku dan kerjaya sokongan, kerja office aku. Alhamdulillah, sejuta syukurku kepada Allah, Tuhan sekalian alam kerana walau dalam kesibukan dan perkara yang datang tanpa henti aku masih boleh mencari jalan survival dicelah semua yang telah terjadi.
Pertama sekali, Alhamdulillah isteriku sudah melahirkan permata hati pertama kami. Seorang anak lelaki. Kemerah-merah kulit dia. Mungkin sebab ummi dia semasa mengandung bercita-cita nak letak nama Humaira yang bermaksud putih kemerah-merahan sebab duk ingat anak perempuan. Sekali anak lelaki. Aku dah agak dari awal lagi. Namun tak mengapalah anak lelaki atau anak perempuan. Kami terima seadanya. Alhamdulillah dan aku namakannya Zaid al-Khair.
Mungkin ramai tak tau kisah disebalik nama Zaid al-Khair ini. Asalnya sebelum lahirnya Zaid. Aku dan umminya duk bercita-citalah nak letak nama apa pada anak kami bila lahir nanti. Umminya nak letak nama Muhammad al-Fateh, itu dia dah book awal-awal lagi dari dulu. Mungkin tersentuh hatinya selepas membaca kisah Sultan Muhammad al-Fateh yang membuka kota Constantinople. Berebut-rebut nama tersebut dengan adiknya.
Namun tak mengapalah. Aku secara peribadi suka akan nama seorang ulama' masa kini yang sangat tawadhu' iaitu Prof Zulkifli al-Bakri. Nama tersebut amatlah sesuai dengan beliau seakan-akan ibu bapa Tuan Prof sudah tahu akan masa depan Tuan Prof. Aku teringat dalam sebuah kuliah UKE (Ustaz Kazim Elias) yang ada menyebut tentang 3 tanggungjawab ibu bapa kepada anaknya. Salah satu daripadanya adalah menamakan anak dengan nama yang baik-baik. Apakah nama-nama yang baik tersebut. Ulama' ada menyebut nama-nama yang terbaik adalah nama dengan maksud hamba kepada Allah seperti Abdullah, Abdul Rahman. Keduanya nama-nama Nabi dan ketiga adalah nama Sahabat Nabi.
Nak dijadikan cerita aku teringat pulak kuliah UWA (Ustaz Wadi Anuar) menceritakan kita umat zaman sekarang tidak mengambil contoh daripada umat zaman Sahabat. Sebabnya adalah kita tak kenal akan para Sahabat sedang "kuntum khairon ummatin" umat yang terbaik adalah para Sahabat. Kita hanya biasa kenal 4 orang Sahabat yang merupakah Khalifah. Aku terpanggil untuk meraikan Sahabat-sahabat yang tak biasa kita dengar nama mereka.
Setelah berbincang dengan isteriku. Kami putuskan untuk tidak memilih nama Muhammad al-Fateh yang sudah dikenali umum. Lantas kami bersetuju dengan nama Zaid al-Khair dengan gelaran al-Khair itu adalah gelaran yang diberikan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri kepada sahabat yang bernama Zaid. Mungkin ramai tak tahu yang nama Zaid al-Khair adalah nama seorang Sahabat Nabi SAW. Harap-harap dengan adanya Zaid al-Khair, kita semua akan tergerak untuk mengambil segala pengajaran daripada para Sahabat Nabi SAW dan berusaha untuk lebih mengenali mereka. Semoga Zaid al-Khair akan sabar dan santun seperti Zaid al-Khair R.A.
No comments:
Post a Comment