Friday, February 7, 2014

Gelagats

Gelagat Pembuka
Assalamualaikum

Gelagat 1: Selfie Dalam LRT
Aku dalam LRT Kuning menuju satu tempat. Tempat duduk silver berkilat. Licin, sandar tak sedap, duduk tak lekat. Gelongsor-gelongsor punggung kedepan. Seberang kerusi sana, Nana pakai songkok hitam, kasut hitam kilat-kilat. Pemilik restoran nasi kandar mungkin, ada pekerja sewaktu dengannya. Cakap urdu nak turun stesen seterusnya.

Kanan sikit, depan, ada seorang gadis cina. Seluar pendek warna hijau. Peluk teddy bear berbulu lebat. Siap ada riben ikat di telinga. Di kerusi-kerusi lain pula ada mat bangla. Fesyen baju kotak-kotak, seluar hijau, tali pinggang merah. Senyap, apa pun tak kata.

Nak kata apa, mata duk tengok awek cina. Mulut ternganga tak keluar suara. Ada yang tutup tak buka-buka. Senyum panjang mata tak kelip. Apa yang ditengok. Rupanya si gadis cina angkat tinggi telefon pintar buat selfie peluk teddy bear.

Kechakkk!!!..uploooadd

Gelagat 2: Jiwang Tak Kenal Orang
Dalam Lrt Merah pun ada cerita. Cerita sebelum naik LRT Kuning sebenarnya. Aku mengantuk juga, semalam tidur tak lena. Alhamdulillah dapat duduk. Sandarkan kepala, pejam mata. Nak mimpi apa ya? Mimpi indah laa. Sapa nak mimpi buruk.

Tiba-tiba ada suara. Suara lelaki? Eeeeeee apa yang indahnya suara lelaki? Kalau indah, dah cerita songsang dah. Mata aku buka. Kabur-kabur. Eh eh, merpati dua sejoli. Seluar jeans skinny, kasut sukan basket ball. Merah kuning lagi. Teruna janggut seciput. Dara tudung bawal lilit fesyen tipikalisme.

Rupanya teruna yang duk menyanyi. Bukan aku yang mimpi. Fuhh! Nasib baik. Ada orang tengah jiwang-jiwangan dalam train rupanya. Antara lagu-lagu dinyanyikan; "Ku juga mencintai dirimu, mengapa sukar ku luahkan.." Lagi? "Terasa keabadian cinta kau beri.." Lagi lagi? "Oh kasih, oh kasih, ku berterima kasih, padamu kerana menyempurnai hidup ku.."

Seram sejuk aku. Tak jadi tidur dalam LRT.

Gelagat 3: Tak Cukup Kain
Aku dah cakap. Kau tak tutup aurat.

Apa yang tak tutup? Aku pakai tudung apa?

Nieh, seluar ketat. Baju singkat. Nampak pusat.

Owh ini pun kira aurat ka?

Gelagat 4: Harap Janggut Panjang Harap Kopiah Putih
Solat jumaat. Ramai orang. Nak tau bilangan yang melihat? Ambil bilangan orang, darabkan dengan dua. Jumlahnya adalah jumlah mata yang melihat. Jubah putih ada. Baju melayu putih ada juga. Janggut putih pun ada. Rambut putih pun ramai. Yang takdak rambut pun sama.

Sebelah aku nie ustaz kot. Janggut putih, panjang. Kopiah putih, lubang-lubang. T-shirt saja hitam. Tulis apa tak tau. Lantoklerr, dengar khutbah lagi best. Bahasa inggeris lagi khutbah hari ini. Cerita, kemana pergi duit zakat. Dah ramai sangat sedap mulut cakap duit zakat disalah guna.

Ustaz sebelah, bangun solat. Huishhhhh. T-shirt dia! T-shirt dia!..T-shirt dia gambar real Tok Guru Nik Aziz. Dengan tajuk "The Legend". Tapi baju gambar orang. Gambar hidup kata setengah orang. Boleh pakai solat ka?

Gelagat 5: Bro! Angkat Takbir Dulu Boleh?
Allahuakhbar (Takbiratul Ihram). Imam dah beri salam. Aku naik sambung rakaat yang terlewat. Rakaat ketiga. Bangun untuk rakaat keempat, ada orang sentuh bahu. Naik pangkatlah aku. Jadi Imam pulak. Tadi makmum masbuk ja pun.

Aku kuatkan suara takbir untuk rukuk. Iktidal. Sujud. Duduk antara dua sujud. Sujud semula. Bangun untuk tahiyyat akhir. Beri salam. Assalamulaikum warahmatullah. Allahumma inni as aluka redhaka wal jannah. Assalamualaikum warahmatullah. Wa na'uzubika min saqotika wan nar.

Toleh ke belakang nak tengok sapa makmum. Astafirullah!!! Takda orang???

Gelagat 6: Bila Dunia Takda Peraturan
Naik motorsikal. Ke tempat mencari rezeki. Awal pagi. Sesak macam biasa. Biasalah Kuala Lumpur. Kalau tak sesak. Tue tandanya orang sedang bercuti, kau yang pergi kerja. Naik AKLEH dah biasa. Jauh pulak tue. Rugi minyak mahal. Rugi masa emas. Ikut Jalan Ampang. Hati aku kata.

Kiri kanan aku cilok. Dah macam mat rempit. Cuma fesyen seluar slack, baju kemeja lengan panjang sinting separuh lengan, beg swan digalas belakang, kasut hitam tajam kedepan. Kiri kanan aku cilok. Redah kereta yang pelan-pelan siput. Sampai simpang empat Jalan Ampang, Jalan Tun Razak.

Woi!!! Apa nie???

Kereta selerak di tengah simpang empat. Tak jalan. Langsung. Sangkut. Motorsikal still cilok kiri kanan. Lampu trafik rosak rupanya. Manusia hilang arah. Bila takda peraturan. Akhirnya semua tak dapat jalan. Dalam kereta, semua senyum puas hati agaknya. Aku tak boleh jalan, hampa pun aku tak bagi jalan! Hahahahahaha (Gelak jahat)

Gelagat 7: Terdesak Sangat Dah
Dulu isu kalimah Allah. Kes tak selesai lagi. Orang yang duk berhimpun dah penat agaknya. Dah tak dengar cerita dah. Kali nie isu Tampar Teresa. Kalau aku tak silap dengar. Hmmm esok lusa habeslah cerita.

Lepas ini, ada filem apa pulak? yang perlu pelakon tambahan buat perhimpunan. Ludah. Sembelih ayam. Simbah cat. Semua kami boleh buat. Watak apa pun takpa. Janji ada orang tangkap gambar muka kami. Masuk dalam tv3. Popular satu negara.

Pakai nama persatuan Islam. Nampak alim sikit. Kami terdesak sangat dah nie.

Gelagat Penutup
Sekian. Wassalam.

No comments: