Saturday, March 25, 2017

Syurga Yang Diimpi - Dunia Yang Dikejar

Assalamnualaikum w.b.t

  1. Dulu sekitar tahun 2015, aku pernah ikut satu program motivasi kepimpinan di Pantai Merdeka. Dalam salah satu slot motivasi keagaaman, kami peserta ditanya apakah tujuan tertinggi dalam hidup kami? Ada yang jawab itu dan ini sehinggalah salah seorang peserta menjawab SYURGA. 
  2. Ya Syurga yang diceritakan di dalam al-Quran. Keindahan dan kehebatannya tidak akan pernah tercapai oleh akal manusia untuk memikirkannya. Setiap orang yang memasukinya adalah dengan rahmat Tuhan. Mereka juga adalah orang-orang yang diredhai oleh Allah SWT. Dikalangan mereka, para Nabi dan pengikut-pengikutnya. 
  3. Cerita para Nabi dan pengikut-pengikutnya yang setia ada di dalam al-Quran. Sudah tentulah contoh terbaik buat kita umat manusia hari ini adalah Nabi Muhammad SAW dan para Sahabat RA. Merek telah diredhai Allah dan sudah tentu balasan mereka adalah syurga. Kita boleh semak di dalam al-Quran dan Hadis yang sahih.
  4. Apakah nilai harta dunia di mata mereka? Agama tidak menyuruh kita hidup merempat dan mengemis. Bahkan Agama melarang kita (umat Islam) meminta-minta. 
  5. Tidak dinukilkan didalam Sirah bahawa Nabi SAW hidup meminta-minta kepada para Sahabat RA yang sanggup berkorban apa sahaja untuk Baginda. Nabi SAW lagi diharamkan untuk menerima sedekah. Nabi SAW memerintah Makkah dan Madinah. Namun, apa harta yang Nabi SAW tinggal setelah Baginda wafat. Begitulah juga Sahabat RA. Kita boleh bilang dengan jari berapa orang sangat Sahabat RA yang kaya. Hanya beberapa orang dikalangan mereka.  
  6. Kita hari ini, susah hati sangat kalau tak kaya. Susah hati sangat kalau tak berduit nak beli itu dan ini, Tak berduit nak melancong kesana-kesini. Tak berduit nak beli kereta mewah. Tak berduit nak beli rumah mewah. Tak berduit nak bergaya macam artis-artis. Tak berduit nak pakai telefon bimbit berteknologi tinggi. 
  7. Bacalah kisah Salman al-Farisi RA yang menangis semasa hendak wafat. Terkenang beliau yang telah mungkir janji dengan Nabi SAW untuk hidup didunia sekadar seorang musafir (ambil bekalan sekadar cukup untuk meneruskan perjalanan). Sedang ketika Salman wafat, beliau hanya meninggalkan beberapa dirham.
  8. Kita hari ini hidup ada tempat berteduh, ada makanan yang kadang-kala sampai berlebih. Cuma kadang-kadang saja makan nasi lauk telur. Ada telefon bimbit walaupun bukan I-Phone. Ada motor kapcai, ada kereta kancil. Belum lagi kita tengok yang ada rumah sampai 6-7 bilik, kereta mewah 2-3 buah, Duit simpanan dan takaful sampai sejuta. 
  9. Itu-pun masih lagi ada rasa cemburu dengan kawan-kawan yang lebih mewah, lebih cantik, lebih kaya, lebih senang. Kawan-kawan ke Jepun, Korea, Australia, Indonesia, Philipina dll. Kita pula terasa sampai berjela-jela tulis penyesalan di FB. Allahuakhbar. Sungguh dunia ini penuh tipu daya dan nafsu ini seperti orang yang tak pernah hilang kehausan.   
  10. Ish-Ish. Kalau fikir balik, malu nak jumpa Nabi SAW dan Sahabat RA kalau dapat masuk syurga sekalipun. Semoga Allah menjaga hati aku dan ahli keluarga aku. Tetapkan kami diatas jalan Nabi SAW dan para Sahabat RA.
Sekian.

No comments: