Sunday, November 28, 2021

Anak

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Aku ada perasaan aku kurang meluangkan masa dengan anak-anak. Aku rasa tersedar perkara ini masa mula-mula aku kerja di rumah akibat PKP, pandemik COVID-19. Waktu berada dirumah aku macam sedar-sedar anak sulung aku dah 6 tahun dan anak kedua aku dah 3 tahun. Cepat sungguh masa berlalu. 
  2. Kerja dirumah pun ada masanya aku sibuk dengan mesyuarat demi mesyuarat yang sangat panjang. Ditambah lagi dengan komitmen sebagai JMC yang memerlukan aku punya masa duduk berbincang dengan komiti lain diluar waktu kerja, 
  3. Walaupun isteri aku dalam banyak kes sangat memahami kerana kalau semua orang tak mahu ambil kisah sapa pula yang nak ambil kisah. Akulah yang sukarela ambil kisah sebagai pembuka jalan untuk pemilik-pemilik lain pula selepas ini. Insyaallah ini tahun terakhir aku sebagai JMC. Semoga jiran-jiran menyambung perjuang mendapatkan hak kita di rumah yang kita beli dengan titik peluh kita sendiri. 
  4. Berbalik pada cerita anak ni tadi. Rasanya sekejap sahaja, dah ada anak ketiga. Simpan dulu cerita anak ketiga ni. Anak sulung dan yang kedua ni, aku dapat perati tumbesaran mereka secara dekat dalam masa 2 tahun PKP. Seorang daripada suka mewarna dah jadi suka melukis dan seorang lagi daripada asyik tengok saja abang mewarna dan melukis dah suka mewarna dan sekarang suka melukis pula. 
  5. Minggu ini bermain perasaan sebab nak tinggal si abang dan si abang nombor dua di rumah Pak Ngah mereka. Aku dah isteri akan bermalam, dua malam di hospital untuk menyambut kelahiran yang ketiga. 
  6. Biasalah isteri aku punya drama risaukan si nombor dua. Yang tu, manja. Berpeluk, menggosok muka dia dekat perut isteri aku. Tidur pun jarang sekalilah nak tidur tempat lain selain dengan isteri aku. Dah cuba ajak tidur bilik lain. Lepas kita dah tidur, dia bangun bawak bantal pergi cari ummi dia. 
  7. Selain itu, dia jenis tak bercakap kecuali dengan abang sulung dia. Ditanya apa-apa hanya angguk dan geleng. Kalau main dengan abang dia, pot! pet! pot! pet! mulut bercakap. Duk bercerita fantasi depa dua. Kalau kita tanya terus diam. Angguk tanda setuju, geleng tanda tidak setuju. Diam atau teruskan main macam tak dengar apa kita cakap kalau tiada keputusan. 
  8. Pak Ngah pun risau kat dia, sampai telefon Achik ajak mari tidur di rumah sekali untuk temankan mereka. Dengan Achik dan Uncle mereka rapat sikit. Yalah, Achik dan Uncle rajin melayan mereka dua. 
  9. Dalam dua hari ni duduk rumah Pak Ngah nampak baik saja. Cuma malam kedua tu, rasa macam nak drama jugak si Abang Sulung tu. Duk ajak Achik balik rumah dia. Rindu rumah dan mainan-mainan dia tu la kot. Buku baca dan buku warna yang bawak daripada rumah tu, tak tau la berkisah atau tak. Pak Ngah siap beli layang la bawak pergi main dekat taman. Lupa dah buku-buku dalam beg tu. 
  10. Hari ini insyaallah, dah boleh balik rumah. Semalam aku dah balik dah uruskan uri (placenta) perasaan keluar daripada hospital tu seronok semacam walhal bukan aku yang sakit. Doa-doa semoga semuanya berjalan lancar dan kami dibenarkan balik hari ini. 
Sekian.

Wednesday, September 8, 2021

Buat Pandai Dua Kali

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Beberapa minggu ini aku mengalami beberapa peristiwa yang sangat menyusahkan. Ya ini akibat perangai orang lain. Aku nak cerita dekat sini sebagai iktibar dan peringatan kepada aku dikemudian hari. Aku doakan kepada Allah supaya jangan menjadikan aku orang yang seperti ini. 
  2. Ini kisah seorang yang aku kenal. Dia suka meninggikan dirinya dihadapan orang lain. Dia sentiasa mahu dilihat hebat, pandai, lebih berpengalaman, lebih celik IT dan semuanya lebih daripada orang lain. Dia tak mahu menghadapi satu keadaan dimana dia tidak tahu tapi orang lain tahu tentang perkara tersebut. 
  3. Perangai ini, aku dah pernah jumpa dulu. Orang atasan di tempat kerja aku. Kau cakaplah dengan dia apa saja topik. Bila dia masuk, dialah yang paling pandai dalam hal tersebut. Dia sebut itu dan ini menggunakan perkataan-perkataan jargon (teknikal) yang aneh daripada telinga kita. Supaya orang disekelilingnya rasa WOW!
  4. Dua tiga minggu kebelakangan ini aku dah jumpa seorang lagi yang sama tapi dalam versi sedikit berbeza. Aku meneliti terdapat banyak persamaan diantara mereka keduanya. Antaranya mereka perlukan perhatian orang. Mereka tidak boleh hidup dalam keadaan orang tidak memuji mereka atau orang melupakan siapa mereka. Antaranya lagi, mereka ini tiada kawan rapat. Antaranya lagi, mereka cuba lari daripada ahli keluarga mereka, mereka sentiasa berada diluar dan dilihat aktif dengan aktiviti sosial.
  5. Bahagian yang paling akhir, itu yang paling aku takut. Terlalu sibuk dengan aktiviti luar sehingga meninggalkan keluarga. Aduh, rasa cepatnya masa berlalu. Anak-anak aku dah besar. Rasa tak puas menggomol-gomol mereka. 
  6. Balik pada kisah yang aku tengah cerita. Orang ini, sukar untuk dinasihati. Aku dan beberapa kawan aku dah cuba menasihati orang ini. Hakikatnya, sama sahaja. Dia rasa susah hati, bila ada orang lebih tahu daripada dia. Aku dah cuba nasihat supaya untuk dia cuba menghormati kelebihan orang, kau bukan tahu semua benda. 
  7. Tapi dia masih cuba menafikan. Dia cakap pengalaman mereka itu lain, itu pengalaman kerja dengan syarikat-syarikat besar. Tak sama dengan cara mengurus kediaman. Mengurus kediaman ada SOP yang berbeza. Akal mana yang dapat terima hujah ini? Orang lain fikir, nak ikut SOP yang lebih tersusun, lebih professional macam syarikat-syarikat tersohor. Dia pulak nak ikut SOP yang lebih longgar dengan beranggapan dia yang lebih betul dan itu sudah cukup professional. Susah juga macam ini.
  8. Aku dan seorang kawan dah berniat, kalau makin teruk perangai dia ini. Kami akan mengundur diri tahun depan. Kami tak sanggup nak hadap satu period dimana kami bekerja secara sukarela dengan cara kami tetapi pada masa sama kami nak hadap pula seorang yang sudah tidak berkuasa tetapi cuba mengatur sesuatu dibelakang kami. 
  9. Buat masa ini, aku hanya nak jalankan tugas. Habiskan term ini. Aku pun dah penat. Dah la aku buat benda ini secara sukarela. Aku korbankan masa dengan keluarga. Baik aku jadi macam orang lain. Tak ambil tahu, biar saja orang lain buat kerja. Aku pun ada banyak kerja lain yang aku perlu buat untuk hidup aku. 
  10. Tidak aku nafikan, ramai orang ada penyakit macam ini. Mentanglah di tempat kerja, dia ini boss, ada budak-budak kerja bawah dia. Dia balik rumah pun nak buat benda yang sama. Dia ingat kami-kami ni budak kerja bawah dia? Kita semua ada kuasa yang sama saja, ada satu vote saja. Aku tengok orang macam ini. Gelak sajalah sambil sembang meluahkan perasaan dengan bini aku. 
Sekian.


      

Tuesday, August 17, 2021

Kecemasan dan Orang Dungu

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Satu malam telah berlaku satu kematian di bangunan kediaman rumah aku. Rumah yang terjadi insiden meninggal tu, Empat tingkat atas rumah aku. Masa dia collapse tu terkejut jugak aku sebab Kishen, salah seorang komiti JMB post video dalam group whatsapp, satu orang perempuan sedang tiup angin ke mulut dan seorang lelaki sedang pam tekan di bahagian dada mangsa. 
  2. First yang aku terfikir. COVID-19! Sebab kes COVID-19 selalunya melibatkan penafasan. Aku terus whatsapp Kishen, "Bro don't touch anything & don't go into the house". Kishen jawab aku "I have to intervene lah bro. Itu orang buat CPR salah cara la". Aku jawab "Okay then, nanti you balik rumah kena terus mandi kasi bersih semualah".
  3. Dalam masa itu Kishen bagitahu semua yang keluarga tersebut sudah pun menelefon ambulan. Dikatakan ambulan sudah bergerak daripada Wangsa Maju, lebih kurang 24km daripada rumah aku. Dikira-kira 45 minit untuk sampai ke sini berdasarkan trafik pada ketika itu. Kami semua AJK JMB merasakan terlalu lambat. Jadi kami tolong telefon hospital terdekat di kawasan perumahan kami.
  4. Malangnya semua hospital swasta tidak menyediakan ambulan dan hospital kerajaan terdekat pula sedang bergelut menguruskan kes COVID-19. Akhirnya, kami terpaksa akur dan tunggu ambulan yang datang daripada Wangsa Maju. Setibanya ambulan, pegawai yang datang mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Mereka bantu telefon polis, buat laporan. Polis pun hadir dan menjalankan proses-proses yang sepatutnya. Mayat lelaki tersebut dibawa keluar daripada bangunan kediaman kami.
  5. Saya merasakan bahawa kes COVID-19 yang tinggi di Kuala Lumpur dan negeri Selangor yang mencecah 20 ribu waktu ini telah membantutkan hospital untuk tolong kes-kes kecemasan yang lain. Saya rasa malam itu sahaja kami AJK JMB telah telefon 4-5 hospital swasta dan kerajaan yang terdekat dalam lingkungan 10-15km daripada kediaman kami. Namun semuanya tidak dapat hadir membantu. Bayangkan kecemasan sebegini pun hospital tidak dapat menerima kes kami.
  6. Jadi kes COVID-19 ini benar tuan-tuan dan puan-puan. Walaupun masih ramai yang tidak percaya kerana menganggap ianya agenda yahudi, iluminati dan freemason. Ramai lagi masih tidak mendaftar untuk mengambil vaksin. Ada yang anggap vaksin tidak halal dan hanya ingin mengambil makanan yang digelar makanan sunnah berupa kurma, kismis, habbatus sauda dan lain-lain rempah ratus yang entah daripada mana. 
  7. Yang paling aku geram. Ramai yang jenis sembang pandai ni, bawak gaya-gaya ustaz dan ustazah belaka. Dengan serban jubah, dengan purdah, tudung labuh, kongsi ucapan-ucapan sentimen dengan pengaruh aqidah jabariyah yang meletakkan semuanya kepada Tuhan dan menafikan ikhtiar daripada manusia. Ada pula yang mengambil ilmu daripada lebai-lebai jahil yang menjual produk makanan atas nama sunnah dah menidakkan vaksin sebagai satu ikhtiar. 
  8. Sakit jiwa memikirkan golongan-golongan bodoh sombong macam ini. Golongan ini menimbulkan masalah dalam masyarakat dengan menjadi weak point dalam satu-satu komuniti. Mereka ini pula ramai yang buat bisnes sendiri. Dah kerajaan wajibkan pengambilan 2 dos vaksin untuk memulakan bisnes. Muncul pulak permintaan kepada pemalsuan sijil lengkap dos vaksin yang agak hangat diperkatakan. 
  9. Aku rasa kes anti-vaksin atau nama lain mereka pro-choice, selalunya jenis ala-ala ustaz dan ustazah jadian ni diketahui ramai. Satu masa, kami bersembang dengan kawan-kawan diatas talian pun ada seorang kawan aku yang jenis cakap lepas ni. Dia terus sound kawan aku yang paling ala-ala ustaz dalam kumpulan kami tu. "Orang lain aku tak syak, kalau ada anti-vaksin dikalangan kita ni, kau sorang jer yang aku syak". 
  10. COVID-19 itu benar tuan-tuan. Sekarang kerajaan menumpukan kepada aktiviti vaksinasi untuk menurunkan bilangan kes. SOP yang sedia ada sudah banyak dilonggarkan walaupun kes baharu setiap hari mencapai 20 ribu kes. Janganlah kita menjadi dungu dengan memilih antivaksin. Bacalah kitab-kitab sirah bagaimana Nabi Muhammad SAW merawat penyakit. Jangan mudah kita orang Islam ini ditipu berkenaan perkara Agama kita sendiri. 
Sekian.  

Thursday, August 5, 2021

Mulut Longkang Hidup Sorang

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Semalam aku mendapat aduan daripada penyelia pejabat pengurusan bangunan kediaman aku. 4 kali beliau telefon aku dalam masa 15 minit bertanya tentang seorang penduduk yang cuba mendapatkan kebenaran parkir secara percuma di parkir pelawat. Penduduk ini sebenarnya telah pun mendapat kebenaran parkir berikutan terpaksa menjaga ibu dan bapa yang kini duduk bersama. 
  2. Kali pertama permohonan diberikan kelulusan atas alasan ibu bapa hadir duduk bersama untuk ke pusat vaksinasi. Kemudian ibu dan bapa datang lagi untuk duduk selama 2 minggu dalam bulan Jun atas alasan untuk menjaga ibu yang perlu ke pusat dialisis. Permohonan diluluskan. 
  3. Permohonan ketiga dibuat untuk dipanjangkan kebenaran menggunakan parkir pelawat selama sebulan dalam bulan Julai kerana ibu dan bapa tidak dapat pulang berikutan PKPD. Sekarang permohonan keempat pula tiba untuk dipanjangkan lagi satu bulan dalam bulan Ogos sehingga awal bulan September.
  4. Aku bagitahu kepada penyelia bangunan. Aku akan bincang dengan komiti dan insyallah kebenaran akan diberikan tetapi ini adalah kebenaran terakhir kerana PKPD di rumah ibu bapa telah pun berakhir. Kedua, penduduk ini telah menipu kerana dia parkir kereta sendiri yang dia guna untuk pergi kerja setiap hari di parkir pelawat tingkat bawah. Dimana dia parkir kereta bapa dia? Aku tak pasti.
  5. Aku minta pengawal pergi tengok siapa parkir di parkir yang dimiliki oleh penduduk tersebut di tingkat atas. Pengawal keselamatan ambil gambar. Itu kereta suami dia. Penduduk ini pula, dia nak minta kebenaran untuk guna parkir secara percuma tapi mulut dia longkang gila. Dia ingat kami JMB ni kerja dengan dia ka?
  6. Dia kata visitor parking adalah hak dia. Kepala hotak dia! Dalam AGM semua penduduk yang hadir telah setuju setiap unit hanya punya hak 9 hari untuk menggunakan parkir visitor secara percuma setiap bulan. Sekarang dia telah guna lebih 40 hari parkir visitor secara percuma. Dia ada mesej aku secara peribadi. Sama jugak. Mulut longkang. Tapi bila dia telefon pengerusi JMB, dia menangis konon play victim.
  7. Esoknya dia call pejabat pengurusan tanya status parkir dia. Aku rasa, masa aku dengar perbualan dia dengan pengerusi. Pengerusi cakap bagi satu atau dua hari untuk komiti berbincang. Kemudian mendapatlah dia jawapan. Komiti belum buat keputusan. Dia boleh cakap "you tak perlu tunggu komiti, you call chairman terus tanya. Semalam saya dah cakap dengan dia." Wah! chairman pun kerja dengan kau ke?
  8. Orang kalau dah biasa hidup guna kabel ni macam ni la kot. Dia ingat dia punya satu call kepada pengerusi JMB boleh setel masalah dia. Orang lain pun bayar maintenance fee lah!
  9. Pengajaran dia dekat sini. Kita ni manusia hidup satu hari kita akan perlu bantuan orang. Jadi kita kena jaga mulut kita. Jangan duk cakap sebarangan. Kita jangan duk ingat di tempat kerja kita senior, ada ramai budak-budak kerja bawah seliaan kita. Balik rumah kita nak bawak pangkat kita depan orang lain. Jawatan tu tolong tinggal tempat kerja. Jangan bawak balik. Mentang-mentang budak-budak pejabat pengurusan sini semuanya muda-muda. 
  10. Menyusahkan orang. 
Sekian.

Thursday, July 29, 2021

Dos Pertama AstraZeneca

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Sebelum aku terlupa sebab dah 3 hari berlalu aku disuntik vaksin COVID-19. Aku nak cerita dan rekod pengalaman aku dekat sini. 
  2. Kalau diingat semula aku ni kira berjuang jugak nak berebut booking vaksin AstraZeneca (AZ) yang ditawarkan buat kali kedua selepas tawaran kali pertama habis dalam masa 2 jam. Dahsyat. Aku tak sempat bukak pun nak buat booking masa tu. Kekesalan tu tak terasa sangat sebab masa tu aku tak berapa ambil pusing pasang vaksin ni. Dan masa itu tengah viral yang AZ ni ditolak oleh 40 buah negara. 
  3. Namun alhamdulillah. Takdir yang ditentukan Tuhan. Hj. Zainal Rashid Ahmad (ZRA) ada pulak cerita pasal vaksin AZ ni dekat Garasi TV, sesi stream COVID. Jadi diberi pencerahan oleh Hj. ZRA rupa-rupanya vaksin AZ bukan ditolak, tapi belum diterima. 40 buah negara itu masih dalam proses mengkaji walhal vaksin AZ telah pun diluluskan oleh WHO. Kemudian perkara ini menjadi viral kerana Eropah yang cuba monopoli AZ ni cuba untuk merosakkan imej AZ di mata dunia. 
  4. Alhamdulillah dalam pusingan untuk booking vaksin kali kedua aku mendapat tarikh 26 Julai 2021. Situasi masa nak booking vaksin tak payah cerita. Macam berperang. Dengan tekan punya tekan tak keluar apa-apa. Tarikh yang hujung minggu semuanya sudah penuh. Aku buat pandai sikit aku ambil tarikh-tarikh paling hujung. Alhamdulillah, itulah aku diantara orang yang paling lambat disuntik vaksin dos pertama dalam kumpulan kawan-kawan aku sama ada dirumah atau dipejabat.  
  5. 26 Julai 2021. Aku bersiap memandu ke dewan peperiksaan Universiti Malaya (UM) untuk temujanji pukul 9 pagi. Malam sebelum vaksin aku tak boleh tidur. Tak lena kot tidur. Pukul 5.30 pagi aku dah terjaga. Aduh. 
  6. 30 minit sebelum pukul 9 pagi. Aku dah siap. Ada orang cakap lepas vaksin mengantuk, ada yang cakap lepas vaksin lapar. Jadi, aku makan dulu ketupat palas sebiji dengan beberapa keping biskut. Minum air kosong satu cawan. Lebih kurang 8.45 pagi baru aku keluar. 
  7. Pukul 9.10 pagi aku sampai di parkir depan dewan PPV UM. Ikut saja tanda jalan di dalam UM. Insyaallah akan sampai tepat ke parkir kawasan PPV. Masa aku sampai, dah ada orang balik pun. Jadi, takdalah awal sangat pun. Cuma masih belum ramai orang sebab masih awal pagi. Nak masuk ke dewan PPV kena scan MySejahtera dan ada pegawai berpakaian tentera menunggu di depan pintu masuk. Beliau semak profile dalam aplikasi MySejahtera untuk pastikan aku berstatus risiko rendah. Dan beliau jugak semak tarikh dan tempat vaksinasi untuk pastikan aku berada di tempat dan tarikh yang betul.
  8. Dah masuk dalam dewan aku diberi nombor giliran. Nombor giliran ini membawa aku daripada kaunter ambil borang, isi borang, suntik vaksin dan semak borang akhir sebelum aku boleh menunggu 15 minit untuk pemerhatian selepas disuntik. 
  9. Alhamdulillah walaupun tarikh aku mendapat dos pertama agak lewat berbanding orang lain tapi masih ramai kawan-kawan yang aku kenal belum mendapat tarikh pun lagi. Dan SOP suntikan sekarang lebih telus dan membenarkan penerima suntikan vaksin merakam. Siapa nak rakam, siap sedia kamera korang sebab yang menyuntik vaksin akan tunjuk dos dalam jarum kemudian terus cucuk. Dia takkan tanya korang nak rakam ke tak. Ada beribu orang lagi dia sunti. Dia takda masa nak tunggu korang bukak aplikasi kamera atau adjust filter. 
  10. Lepas suntik vaksin aku balik rumah macam biasa. Nak kata kesan dia macam mana susah sebab hari pertama aku tak rasa apa-apa langsung. Lengan kiri adalah rasa janggal sikit. Tapi tak rasa pening, demam dan sebagainya. Masuk hari kedua barulah semua tu muncul. Tak boleh buat apa haritu, sampai terpaksa makan panadol. Alhamdulillah hari ketiga kembali sihat seperti biasa cuma lengan kiri ni masih rasa janggal. Aku punya dos kedua, bulan september nanti. Hmm

Wednesday, July 28, 2021

Duit Punya Hal

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Dua tiga hari ini kecoh tentang perjalanan Ustaz Ebit Lew (UEL) ke Gaza. Bermula dengan isu seorang selebriti yang tak aku kenali, Caprice. Kemudian, nama-nama lain juga terlibat seperti saudara Firdaus Wong dan Ustaz Nadir al-Nuri (UNN). 
  2. Semasa Caprice buat kecoh. Aku tak ambil port sangat sebab aku nampak isu ini isu picisan saja. Isu ambil gambar, isu bayaran kepada wakil mesir dan sebagainya. Sehinggalah tular tulisan UNN yang menyatakan secara agak teliti apa yang beliau lalui sewaktu berkomunikasi dengan tim UEL daripada persektif beliau sendiri. 
  3. Aku masih tak berapa ambil kisah sangat pun tapi aku baca sampai habislah apa yang UNN tulis. Dan aku rasa wajar UNN bertanya beberapa soalan yang perlu dijawab sendiri oleh UEL. Sikap UEL dan tim beliau yang bertindak berdiam diri adalah sangat tidak wajar. UEL perlu tampil memberikan penjelasan dan menjawab persoalan-persoalan yang dikemukan. 
  4. Semalam kes ini menjadi hangat apabila UEL mengambil keputusan untuk membuat laporan polis. Sudah. Kenapa pula UEL mengambil pendekatan begini. Laporan polis dibuat kepada siapa. Aku pun mula tak senang duduk. Yalah, kes ini sedikit sebanyak memberikan gambaran buruk kepada agama Islam itu sendiri. 
  5. Diikuti pula oleh sidang langsung UEL cuba menjawab segala pertanyaan yang perlu beliau jawab. Aku agak kecewa cara UEL menjawab. Walaupun aku agak memahami mungkin beliau sedang dalam tekanan dan tidak terlepas beliau untuk melakukan serangan-serangan peribadi kepada UNN dan pada masa yang sama cuma menunjukkan beliau lebih bagus daripada UNN.
  6. Telahan aku, jawapan UEL sebenarnya bukan menjawab tetapi membuka kepada lebih banyak persoalan lain. Isu kemana dana yang disalurkan kepada persatuan NGO yang diasaskan oleh beliau. 
  7. Bagi aku, isu audit NGO ini bukan isu baru. Ianya isu lama yang muncul dan tenggelam. Aku ingat satu ketika dulu. Mungkin sekitar 2010-2015 isu yang sama pernah muncul. Mungkin tidak ada nama yang dipetik, maka isu ini akhirnya hilang macam tu saja. Orang Malaysia macam itulah. Bukan nak selesaikan isu. Bila isu baru naik, mereka hurung pula isu baru lupa isu yang lepas masih belum selesai. 
  8. Pendapat aku? Aku sokonglah, memang perlu semua NGO diluar sana buat audit. Ini termasuk pusat-pusat tahfiz, rumah-rumah anak yatim. Ini bagi menunjukkan ketelusan dalam mengurus dana sumbangan orang ramai. Dan mengelak mereka yang tidak bertangunggjawab ambil kesempatan dengan kemurahan hati orang-orang Malaysia.
  9. Aku pernah bersembang dengan seorang pegawai yang kerja dengan JKM. Beliau bagitahu, ada banyak rumah-rumah anak yatim yang popular sebenarnya tidak diurus dengan baik. Mungkin sekadar pengurusannya pandai main perkataan dalam kertas kerja. Pandai menampakkan kredibiliti mereka. Hakikatnya, dana tidak diurus dengan baik.
  10. Dalam isu UEL dan UNN ini. Ada baiknya, keduanya memberikan penjelasan yang penuh. Jelas lagi bermakna. Bukan bermain emosi, isteri menangis, anak menangis. Islam tertegak dengan hujah. 
Sekian. 

Thursday, July 22, 2021

Trilogy

 Assalamualaikum w.b.t

  1. November atau Disember ini insyaallah, isteri aku akan melahirkan anak ketiga kami. Insyaallah lengkaplah trilogy keluarga kami. 
  2. Dalam dilema sekarang ini adalah situasi pendemik yang sedang kita lalui. Aku tak masih tak dapat bayangkan macam mana proses, nak pergi sana. Nak bergerak pergi balik ke hospital dan sebagainya. 
  3. Pada mulanya aku cadangkan kepada isteri. Bersalin lah dekat Andorra. Mula macam setuju tapi setelah difikirkan dan isteri aku ni ada background medical dan ada pengalaman bekerja dalam bidang yang sama. Yang dia fikir bukanlah nak selesa yang melampau, bersalin dekat hospital cantik, boleh update dalam instagram dan FB. 
  4. Dia hanya nak hospital yang betul-betul hospital. Bukan hospital yang sekadar yang sekadar nak jadi popular. Hospital ada ada pakar yang betul-betul pakar. Hospital yang ada segala kemudahan sekiranya berlaku kecemasan. Hospital yang ada bank darah sendiri. Sekiranya berlaku perkara yang tak diingini. Sekurang-kurangnya hospital akan mengambil tangunggjawab.
  5. Isteri aku cerita, biarlah di bersalin di hospital yang tidak disebut namanya oleh segala influencer, instafamous, asalkan hospital tersebut tak akan menyusahkan keluarga beli berlaku kecemasan. Mereka boleh buat keputusan dengan pantas dan tidak lepas tangan sehingga akhirnya tolak kes ke hospital kerajaan kerana tidak boleh atau tidak cukup kemudahan untuk menyelesaikan kes kecemasan. 
  6. Jadi aku mengambil stand sebagai seorang suami. "Baiklah, awak pilih sendiri hospital mana yang awak nak bersalin dan doktor mana yang nak attend awak. Saya sokong." 
  7. Buat masa sekarang isteri aku cuma aim, KPJ Damansara untuk dapatkan khidmat Dr Imelda Balchin. 
  8. Wow! sapa tak kenal Dr Imelda Balchin. Seorang doktor yang lantang menentang doula, antivaksin, penjual produk-produk kesihatan jalanan. 
  9. Saya okay sahaja. Takpa. Kita pergi dulu KPJ Damansara. Dapat ke tak Dr Imelda masih belum tahu. Takpalah. Kalau tak dapat pun isteri saya okay. Kurang-kurang KPJ Damansara adalah hospital sebenar. 
  10. Satu lagi yang merunsingkan. Nama anak ketiga ni. Aduh!
Sekian. 

Saturday, July 17, 2021

Orang Berduit Kurang Anak

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Dua malam lepas, aku bersembang dengan isteri aku yang seorang tu. Melayan dia meluah perasaan dan aku pun tambah sikit cerita-cerita aku macam kita orang lelaki melepak bersembang dengan kawan-kawan dekat kedai mamak. 
  2. Sampai pukul 4.00 pagi kami menyembang. Anak-anak lelaki yang dua orang tu pun sambung main tak ingat nak tidur. 
  3. Aku tak tau benda ni adalah kekurangan aku atau aku saja terasa sebab aku sibuk tak dewa due minggu pertama bulan July ini. Aku kena siapkan laporan quarter 2, aku kena siapkan presentation pack untuk WLT untuk COELT. Lepas tu ada pulak benda yang aku kena kumpul data, buat kira-kira dan sekali lagi buat laporan lagi untuk pihak yang lain pula. 
  4. Dimasa yang sama kes sah positif covid-19 di bangunan kediaman aku meningkat. Aku memang sibuk sampai aku abaikan kebanyakkan mesej dalam group whatsapp JMB. Mujur ada Khairemi dan Kishen yang aktif. 
  5. Balik pada cerita aku bersembang dengan isteri aku. Aku ceritalah, aku rasa macam aku dah faham kenapa orang yang sikit berduit, kerja dalam eksekurif keparat ni selalunya anak 1 orang, anak 2 orang saja. 
  6. Sebab orang macam ni lepas habis waktu pejabat pun kerja dia masih tak siap-siap. Sambung pula buat kerja waktu malam sampai lewat pagi. Esoknya, awal-awal pagi, dah kena bersiap ke pejabat pula. 
  7. Masa bila nak tengok kerja sekolah anak? Masa bila nak bawa anak pergi main? Jadi perasaan tidak selamat kalau ada lebih ramai anak tu berlaku. Takut-takut anak-anak terabai. 
  8. Perkara ini mungkin ada kaitannya dengan bab tawakal. Aku respect orang-orang yang kita tengok tidaklah berduit sangat tapi tahap tawakalnya kepada Allah sangat hebat. MasyaAllah. 
  9. Aku cuma meluahkan apa yang aku fikir, kepada isteri aku. Mungkin itulah sebabnya orang-orang berduit ni anak mereka kurang. Kerana masa mereka dipenuhi dengan kerja. Nak beribadah, dengar kuliah pun kena curi-curi masa. Astaqfirullah. 
  10. Semoga Allah ampunkan aku.
Sekian.   



Monday, July 12, 2021

Sakit Pinggang

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Sakit pinggang aku, makin menjadi pulak sejak dua minggu kebelakangan ini. Setiap pagi lepas aku bangun, dah masuk kerja satu dua jam, mesti kena pergi baring dengan bantal bawah pinggang. 
  2. Lepas 1 jam baring dengan bantal bawah pinggang. Alhamdulillah lega pula. Dah boleh berdiri dan tak ada lagi rasa berdenyut-denyut. 
  3. Aku ke pejabat pengurusan Sabtu lepas. Tandatangan dua cheque penting untuk mula kerja pemasangan CCTV dan penapis induk air bangunan rumah ini. 
  4. Teringat berperang dalam AGM semata-mata nak menjawab dan meyakinkan kelebihan penduduk untuk mendapat undian memasang penapis air induk. 
  5. Balik kepada cerita sakit pinggang ini, aku bagitahu Khairemi, salah seoarang ahli jawatankuasa penduduk. Bakal chairman seterusnya tu. Khairemi pulak bagitahu aku yang kawan beliau ramai dah kena slip disk sebab tidak menjaga ergonomik kerja dirumah. Ah sudah!
  6. Aku mula risau, kemungkinan aku pun kena slip disk ni. Sebab setiap pagi aku duduk, memang sakit pinggang aku menjadi-jadi. 
  7. Mulalah pengembaraan aku mencari kerusi pejabat yang aku baik untuk aku bekerja di rumah. Dulu aku dah study kerusi mana yang aku nak beli. Aku dah masukkan dalam cart shopee aku.
  8. Sekali ada satu hari tu, sampai kerusi ala-ala gaming ke rumah aku. Isteri aku yang tersayang seorang tu beli buat surprise. Mungkin beliau kesian dekat aku sebab duduk atas kerusi plastik kenduri kahwin tu saja. 
  9. Dah isteri beli, okaylah kita guna sajalah. Aku pun dah remove kerusi yang aku nak beli tu daripada shopee cart aku. 
  10. Kerusi yang isteri aku beli ni, rupa-rupanya fabrik dia hanya sesuai untuk bilik yang punya penghawa dingin. Kalau jenis bilik rakyat marhaen yang hanya ada kipas siling ni memang berpeluh duduk atas ni. Dan setelah lebih 8 bulan guna kerusi ni, mungkin sebab berat aku pun jenis lebih muatan, maka span kerusi pun dah jadi nipis. Sekarang aku tengah study semula nak beli kerus pejabat yang proper jenis mesh sebiji macam pejabat punya.
Sekian.       



Thursday, June 24, 2021

Intellectual Neighbourhood Residence (INR)

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Aku nak catatkan dekat sini. Esok-esok kalau syarikat ini terkenal mungkin mereka boleh jumpa sejarah penubuhannya dekat sini. 
  2. Kami mula syarikat dengan 4 orang. Aku (Syafiq), Ivan, Khairemi dan Kishen. Dua tiga malam juga aku memikirkan idea nama untuk syarikat ini. Aku letakkan nama kami semua tapi ini tidak aku kongsikan dengan sesiapa. SIKK, IKKS, KKIS, KIKS Consultancy. 
  3. Tapi aku tak jumpa susunan dan cantik dan sedap disebut. Aku cuba yang ini dulu sebab aku pegang kata-kata Iqbal. Kalau buat band letak nama sendiri. Jadi bila buat syarikat aku cuba dulu letak nama sendiri. Tapi tak jadi. 
  4. Khairemi cadangkan secara rasmi dalam group whatsapp kami, Ivan Dan Rakan-Rakan Consultancy. Sekali macam nama klinik pulak. 
  5. Daripada nama Ivan dan Rakan-Rakan Consultancy, aku ubah jadi INR Consultancy. Ivan tak setuju mulanya sebab menggunakan nama dia. 
  6. Aku mencadangkan kami berempat daftar SSM menggunakan nama INR Consultancy sahajalah. Dan kalau orang tanya apa maksud INR, belasah lah letak Innovative Neighbourly Resilient. 
  7. Namun tengah hari 23 June 2021 (tengah hari tadi), aku rasa nak marhaenkan sedikit nama syarikat ini dan malam ini aku cadangakan yang terakhir seperti gambar di bawah
  8. Dan INR bermaksud, Intellectual Neighbourhood Residence. Dalam bahasa Melayu bermaksud, Kediaman Kejiranan Intelektual. 
  9. Aku nak syarikat kami ini menggambarkan professional, cerdik tetapi amat memahami suka duka menjaga keselamatan dan keselesaan kehidupan hidup berjiran. 
  10. Kami akan fokus satu bahagian demi satu bahagian dalam mengurus kediaman strata. Kumpul modal dan insyaallah kalau ada rezeki INR Consultancy akan jadi pengurus kediaman strata yang hebat di Malaysia. 
Sekian.


atau

Thursday, June 17, 2021

Separuh Jiwa

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Jiwa aku yang suku beberapa hari lalu dah naik lagi suku jadi separuh. Mungkin tengok orang di sekeliling aku pun semuanya kembali aktif bersemangat.
  2. Boss aku call pun cakap "its okay"
  3. Abang Maliki pun nampak bersemangat balik disebalik kejap-kejap phone dia asyik berbunyi jer. Makin sibuk dia sejak dapat laptop kerja ni. Disebalik aku turut bersimpati kepada beliau yang dijanjikan naik jawatan baru dengan kelebihan-kelebihan tertentu tapi akhirnya dicantas orang lain. 
  4. Beliau dah pickup the pace dan sekarang jadi terlalu laju. Aku pun pening.
  5. Geng basikal pulak mula terjebak dengan larian. Ramai join larian termasuk yang tak main basikal pun semua pakat lari masuk virtual run. 
  6. Semangat membara semuanya. Awal pagi, petang, malam dan tengah malam pun lari lagi. 
  7. Aku pun moving forward bit by bit. bit by bit. bit by bit.
  8. Ada agenda baru pula masuk, nak mula business sendiri dalam Strata Property Management. Sekarang tengah merancang nama syarikat dan strategi perniagaan. 
  9. Apa nama syarikat yang sesuai?
  10. Tolong cadangkan.
Sekian

Tuesday, June 15, 2021

Suku Jiwa

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Setelah 455 hari berlalu. Bermula PKP yang pertama akibat pandemik COVID-19, sehingga ke hari ini, aku masih bekerja dari rumah.
  2. Alhamdulillah setelah 2020 berlalu dengan agak baik. Tahun 2021 yang kini sudah sampai setengah tahun, sama ada sedar atau tidak sedar. Cabaran tahun 2021 agak berbeza daripada tahun 2020.
  3. Jujurnya, aku sudah hilang arah, tinggal suku jiwa untuk buat kerja. Aku hanya buat perkara-perkara penting dan selebihnya aku hilang motivasi. 
  4. Mencuba perkara baru mungkin boleh membangunkan api dalam jiwa aku. Aku cuba memasak, mengemas rumah dan berfikir untuk buat renovation di beberapa ruang rumah. Berlari 5km dua kali seminggu. Namun buat masa ini motivasi aku tak kekal lama. 
  5. Motivasi kerja seolah-olah tinggal 10-15% sahaja lagi. Aduh. Apa sudah jadi? 
  6. Nak menulis point keenam ini pun aku hilang idea. 
  7. Ya, Allah ampunkanlah dosa-dosa aku. Hilangkanlah kemalasan, kelesuan yang membelit badan ini. Bangkitkan semula api dalam jiwa aku. Izinkan aku bangun dan berlari bukan lagi merangkak setiap hari. 
  8. Hari ini adalah hari baru. 
  9. Aku masih belum hilang harapan. Aku mesti bangun. 
  10. Tunaikanlah doaku ini Tuhan, Amiiinnn. 
Sekian. 

Tuesday, February 9, 2021

I Pay You!

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Ini lebih kurang macam luahan perasaan jugaklah. Aku dah pesan awal-awal ni. Jangan menyesal lepas baca sampai point ke 10.  
  2. Minggu lepas, pengerusi JMB bangunan rumah aku kongsi satu bebenang e-mail tentang satu pemilik unit yang menghantar aduan tentang najis burung diatas keretanya.
  3. Katanya berikut PKP dan beliau hanya bekerja daripada rumah menyebabkan kedua kereta beliau tidak bergerak dan ada banyak najis burung atas kereta.
  4. Pejabat pengurusan adalah pihak pertama yang membalas e-mail itu dengan jawapan. Kami ambil maklum aduan ini dan kami akan membawa perkara ini dalam mesyuarat untuk diselesaikan.
  5. Lima hari kemudian pemilik tersebut menghantar e-mail lagi, cuma kali ini dengan bahasa yang lebih kasar. Bara hati aku baca email yang itu. 
  6. Pemilik tu mula main ugut isu bayaran caj penyelenggaran. Bayar awal tak dapat diskaun. Ugut untuk membuat bayaran lambat secara sengaja. Ugut lagi, akan membuat masalah sekiranya dikenakan caj lambat bayar akibat tindakan sengaja beliau itu. Keluarkan kata-kata menuduh AJK JMB tidak buat kerja dan akan mengajak orang lain tidak mempercayai AJK JMB. 
  7. Disebabkan kenyataan yang melampau dalam email kedua. Pejabat Pengurusan mengambil tindakan memberitahu pengerusi JMB. 
  8. Pengerusi JMB setelah berbincang dengan beberapa AJK JMB pun membalas email tersebut dengan rasional dan meletakkan sedikit nota di hujung email. "Sekiranya anda tidak dapat percaya lagi dengan AJK JMB sedia ada, anda boleh hadir ke AGM dan sukarela untuk dicalonkan sebagai AJK JMB untuk mendapat pencerahan secara terus bagaimanakah AJK JMB bekerja menaik taraf bangunan ini."
  9. Ini adalah ayat maut, lepas dapat ayat ini tiada lagi reply daripada sesiapa. 
  10. Orang yang banyak buat bising ni hanya suka hal, tapi tidak berani langsung untuk galas tanggungjawab buat kerja secara sukarela. 
Sekian.

Monday, January 25, 2021

Banyak yang terlepas

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Banyak yang hendak aku cerita tapi terlepas. Blog bukan lagi satu pilihan yang senang untuk menulis bila idea muncul. Facebook lebih mudah untuk diakses dan lebih interaktif kerana boleh diselit gambar dan video.
  2. Pun begitu, orang mula bercakap Facebook kini seakan-akan tempat melepak orang-orang tua kerana anak-anak muda lebih suka menggunakan applikasi tiktok, instagram dan sebagainya. 
  3. Kalau Facebook itu dikira sebagai tempat orang tua-tua, Blogspot ini mungkin tempat untuk atok-atok menulis aktivit harian mereka. Haha.
  4. Kalau difikir semula, laju masa berlalu laju lagi teknologi bergerak seakan raksasa melangkah dan membunuh sesama sendiri. Aku sempat lalu zaman Friendster, Myspace, Blog, Facebook, Twitter dan Instagram. Sekarang ada pelbagai lagi applikasi yang baru yang belum aku cuba walaupun hakikatnya aku tidak ada keinginan untuk mencuba. 
  5. Agaknya inilah simptom orang-orang umur pertengahan. Sudah rasa selesa dan ingin terus duduk dalam suasana selesa. Tidak mahu mencuba sesuatu yang baru. Hilang daya untuk meneroka. Kalau ada pun, sekadar meneroka untuk kebaikkan anak-anak. 
  6. Maknanya, kalau ada keperluan. Baru nak survey, nak mencari dan mencuba. Sudah hilang separuh jiwa gila. 
  7. Aku mungkin kena buat satu jadual untuk seharian aku kena bahagi-bahagikan aktiviti & paling susah sekali disiplin untuk ikut jadual yang aku buat tu setiap hari. 
  8. Mungkin kena plan sama-sama dengan isteri baru boleh jalan. Maklumlah sekarang ini kerja daripada rumah dan setiap rumah ada 'penjaganya'
  9. Aku akan cuba luang masa sedikit untuk menulis 10 point yang menarik kalau bukan setiap hari, mungkin setiap minggu. 
  10. Jadi bergerak lah balik blog aku ni,
Sekian.  

p/s: Terima kasih kepada isteri tercinta kerana belikan kerusi sempena kerja daripada rumah walaupun aku sebenarnya dah ada niat nak beli dekat shopee tapi duk tangguh-tangguh.