Saturday, May 4, 2013

Jangan selalu menunding jari

Assalamulaikum w.b.t

Dalam bahang PRU yang semakin membara nie. Selain perang poster dan perang bendera, perang artikel dalam FB juga saya lihat sungguh dahsyat. Baguslah, inilah masanya setiap orang, pastinya rakyat Malaysia meluahkan apa yang tak puas hati, apa yang mereka inginkan.

Namun luahan mereka ini masih lagi saya lihat tidak adil. Tidak adil di mana tu? Tidak adil apabila mereka bercakap mengenai PTPTN dan PETRONAS serta isu penjawat awam.

PTPTN

Alhamdulillah PTPTN akan dihapuskan jika PR menang dalam PRU13 ini. Tetapi nasihat saya kepada anak bangsa. Moga-moga dengan terhapusnya hutang PTPTN ini dapatlah anda semua lebih produktif bekerja tanpa banyak memikirkan soal bebanan hutang anda.

Alhamdulillah saya bukanlah peminjam PTPTN. Saya adalah seorang penerima biasiswa. Jadi apabila bersembang dengan kawan-kawan peminjam PTPTN saya dapat merasa keresahan mereka yang graduasi dengan bebanan hutang.

Pemerhatian saya pada sesetengah peminjam PTPTN, zaman saya belajar dululah. Ramai juga kawan-kawan saya ini nampaknya lebih mewah daripada saya. Boleh sahaja mereka memiliki telefon pintar dengan wang PTPTN, tidak kira lagi yang pergi bercuti dan ada juga dikalangan mereka yang siap boleh beli kereta lagi. Akhirnya selepas graduasi tidak kemana juga.

Namun ada juga kawan-kawan saya peminjam PTPTN yang makan nasi dengan telur setiap hari. Kini mereka lebih berjaya daripada saya. Yelah, dalam setandan pisang tidak semuanya busuk. Saya tulis hari ini adalah untuk mengingatkan kawan-kawan yang mungkin telah salah guna duit PTPTN dulu, lepas PTPTN dimansuhkan nanti, anda akan lebih produktif bekerja memajukan negara ini.

PETRONAS

Saya adalah salah pekerja PETRONAS. Saya rasa terkilan dengan artikel oleh beberapa orang Malaysia dan ada dikalangan mereka, kawan-kawan saya sendiri yang menyuarakan PETRONAS itu dan ini. PETRONAS tidak bayar zakatlah, staff PETRONAS dapat bonus sampai berbulan hasil duit rakyatlah dan macam-macam lagi yang sampai tidak masuk akal.

Kalau penjawat awam boleh suarakan mereka tidak puas hati dengan bonus yang diterima pekerja syarikat swasta seperti PETRONAS, TELEKOM dan TNB. Mak dan ayah saya juga boleh persoalkan bonus yang diterima penjawat awam setiap tahun.

Mak dan ayah saya hanyalah petani dan mereka tidak pernah mendapat apa-apa bonus tahunan daripada kerajaan. Sedangkan setiap keuntungan kerajaan lebih pasti perlu dikongsi oleh semua. Bukan hasil titik peluh penjawat awam sahaja. Betul kan?

Saya lebih suka melihat syarikat-syarikat swasta dan pejabat-pejabat kerajaan, seperti deretan kedai/mini market yang berniaga pada satu tempat. Setiap kedai pastinya menjual barangan yang berlainan dan layanan yang diberi juga berlainan. Bilangan pekerja dan ketekunan pekerja menjalankan tugas juga berlainan. Malah waktu berurusan juga berlainan.

Contohnya kedai pejabat kerajaan seperti pejabat pendaftaran, pejabat tanah sebagainya berurusan hanya pada waktu pejabat, sedangkan kedai-kedai seperti hospital, stesen minyak PETRONAS, TNB dan TELEKOM beroperasi 24 jam.

Semestinya keuntungan berbeza. Mana boleh pekerja di kedai A persoal gaji dan bonus yang diterima oleh pekerja kedai B, C, D dan seterusnya, sedangkan mereka berniaga di tempat yang sama memberi perkhidmatan pada kumpulan orang yang sama. Logik kan?

Jadi saya mohon supaya penjawat awam janganlah mempersoal kelebihan atau kekurangan kerja orang lain. Sebab anda tidak merasai apa yang kami di syarikat swasta atau separa swasta rasa. Saya punyai kawan di TNB yang kerja sampai ke malam. Ada juga yang bekerja sampai ke hari raya dan sebagainya. Syukurlah dengan apa kita terima.

Dalam PRU13 ini hak sama rata bukan apa yang kita minta kerana maksud sebenar ADIL itu adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tapi yang kita perjuangkan adalah hak kita sebagai rakyat yang dinafikan oleh pemimpin-pemimpin yang korupsi. Mereka mendapat lebih daripada apa yang sepatutnya dan kita sebagai rakyat tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Itu yang kita perjuangkan.

INI KALI LAH!!!

Sekian

No comments: