Tuesday, December 20, 2011

The Malaysia Forgotten Hero: Haji Abdul Majid Salleh

Assalamualaikum,

Tinta ini ku tulis utamanya sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan kepada Allahyarham Haji Abdul Majid Salleh. Semoga beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang orang yang soleh.

Aku mengenali beliau melalui seorang pensyarahku, cuma sekadar nama dan foto foto yang seringkali dipamerkan di dalam kelas. Aku mula terfikir..Siapa Pak Majid? Hebatkah dia? Sampai pensyarahku sendiri mengiktiraf beliau sebagai pejuang kemerdekaan yang sebenar. Aku mula menyimpan niat untuk selongkar selidik siapakah beliau.

Namun hajat aku tidak kesampaian. Selang beberapa minggu selepas aku mengenali nama beliau, aku mendapat berita kematian beliau dari pensyarah yang sama. al-Fatihah.

Aku mula menyelongkar dunia internet mencari siapakah Abdul Majid Salleh?

Jumpa!
Sebuah buku hasil tulisan beliau, mungkin yang terakhir. "Memoir Abdul Majid Salleh: Dalam PKMM dan Kesatuan Buruh"

Bermula muka surat pertama aku meneliti, perkataan demi perkataan bertemankan instrumental violin klasik dari Joshua Bell. Makin jauh aku kedalam, makin kuat karya ini menarikku.

Hebat!
Gambaran paling tepat untuk pejuang Pak Majid.

Apa yang membuat aku terharu adalah keterbukaan minda dan cara berfikir Pak Majid yang boleh ku katakan bagai telah jauh kedepan meninggalkan orang melayu yang hidup di zaman beliau. Mungkin kerana beliau selalu bersama-sama orang yang juga hebat dalam kehidupan mereka. Umpamanya Dr. Burhanuddin al-Helmy, Pak sako dan pejuang pejuang PKMM yang lain.

Aku diceritakan siapakah PKMM? Apakah matlamat mereka? Apakah dasar perjuangan mereka?

Mungkin akan ada sesetengah orang akan berkata bahawa aku telah di "Brain Wash" oleh karya Pak Majid.
Tidak!

Pak Majid tidak mengajarku untuk membenci pejuang kemerdekaan yang lain, yang ada hanyalah, belajar dari kesilapan yang lalu, mengenali lebih dekat tentang bangsaku dan pemikiran mereka di zaman dahulu.

Memerhati bangsaku sekarang, aku merasa pemikiran Pak Majid telah jauh di depan meninggalkan kita semua.

Telah jauh kedepan meninggalkan kita yang hanya jaguh kampung di depan bangsa sendiri yang lemah, jauh lagi meninggalkan kita yang suka mengampu, jauh lagi meninggalkan kita yang cepat merasa selesa dan takut untuk berubah, jauh lagi meninggalkan kita yang hanya nak bergantung dan berharap kepada orang, jauh meninggalkan kita yang masih lagi suka untuk memandang tinggi pada bangsa lain tetapi bangsa sendiri terhina.

Allahyarham Pak Majid menyertai PKMM semasa umur beliau belum lagi mencapai 22 tahun dan bergelar ketua bahagian PKMM negeri Johor dan Kesatuan Buruh di usia 23 Tahun. Semangatnya kental dan tidak goyah walaupun bermacam macam cara orang inggeris buat untuk lunturkan beliau.

PKMM yang memulakan langkah untuk menuntut kemerdekaan tetapi ia diperoleh oleh PEKEMBAR. Pak Majid tidak gusar, tidak menyimpan dendam sedikitpun walaupun akhirnya PKMM hanya dikenali oleh seluruh anak anak merdeka sebagai komunis, sebagai penderhaka. Apa yang penting, kita sudah merdeka.

Aku terharu dengan Pak Majid yang berjuang untuk orang Melayu kembali menjadi tuan di tanah dan di air ini. Ditahan di penjara selama 7 tahun. Hanya air dan sayur rebus sebagai santapan, tiada roti tiada nasi. Bila Malaya sudah merdeka beliau tidak miliki sekeping tanah pun.

Tidak mengapa, asalkan anak anak merdeka dapat merasa. Menjadi "Tuan di negeri sendiri.

Terima kasih Pak Majid.
Kerana membuka mindaku agar aku tahu bagaimana untuk menjadi Melayu yang hebat, Melayu yang tinggi maruah dan peribadi dan Melayu yang jauh kedepan terbuka dan gagah dalam segala hal.

Terima Kasih.

P/S I: Maaf kawan kawan, terlalu banyak untuk aku ceritakan - aku terpaksa ringkaskan
P/S II: Marilah kita cuba untuk berubah, jangan kita takut untuk berjuang kerana Tuan kita, yang beri rezeki untuk kita, yang beri keamanan untuk kita, bukan pemimpin parti politik tetapi Allah S.W.T

1 comment:

Anonymous said...

thx kepada blogger blog ini saya sbg cucu kepada Allahyarham Hj majid salleh berasa terharu kerana masih ade org yg masih mengenang budi beliau