Sunday, December 21, 2014

Drama Tentang Jodoh

Assalamualaikum

Aku mungkin hidup dalam dunia realiti, Dunia aku ada warna tapi tak banyak aku kira. Banyaknya hitam putih mengikut pandangan orang lain. Cerita hidup aku tak lah drama-drama macam kisah-kisah tak ada logik seperti dalam novel-novel jiwang melayu.

Kisah hidup aku sebagai ahli logik, penuh dengan rumus, formula, peraturan dan kira-kira. Termasuk sebab dan asbab. Melalui pemikiran begini aku mencari makna dalam hidupku, mencari dan mengenali Tuhan ku.

Benda yang dah berlalu itu sejarah untuk peringatan dan pengajaran untuk masa depan. Aku tidak akan sesekali mengungkit masa lalu kalau ia bukan untuk kebaikkan. Kalau ia sekadar nak memuaskan hati dan tidak membawa apa-apa makna. Lupakan saja.

Tak guna mengungkit kisah lalu, menyakitkan hati. Akhirnya menangis seorang diri. Sudahlah.

Teruskan hidup!

Saturday, November 29, 2014

Kerja dan Kerjaya

Assalamualaikum

Memang ramai orang salah faham mengertikan kerja dan kerjaya. Itulah sebabnya aku rasa, keruntuhan keluarga berleluasa dalam negara ini. Ini apa yang aku tengok lah sekarang setiap dalam media setiap hari.

Aku mendefinisikan kerja sebagai perkerjaan. Pekerjaan bertujuan untuk mendapatkan duit semata-mata. Kerjaya pula tujuannya bukan pula semata-mata kerana duit tapi faktor kepuasan diri juga dikira sebagai salah satu tujuan paling besar 'dalam kerjaya.

Dengan salah faham macam ini, kerjaya yang tidak menjamin kewangan yang baik di peringkat awal sering kali dipandang rendah. Seperti perniagaan online, suri rumah sepenuh masa dan lain-lain yang tidak menjanjikan pulangan wang yang banyak.

Apa sekarang anda bekerja atau bekerjaya?

Wednesday, November 19, 2014

Hujan Emas Di Negeri Orang

"...hujan batu di negeri sendiri."

Assalamualaikum

Malam semalam aku baru balik dari Miri. Balik ke Kuala Lumpur. Balik kepada isteri tercinta. Senyum lebar beliau nampak aku buat kali pertama semalam. Aku ada tanya kenapa. Beliau cakap tak tau rasa macam nak tergelak pun ada.

Mungkin sebab muka aku dah macam tarzan kot. Hampir 2 minggu aku dekat rig, aku tak mengemas misai dan janggut aku. Nak shave takut terkejut orang-orang kt sana dek muka jambu aku nieh. Jadi aku biarkan saja. Pagi terakhir sebelum aku balik, aku masuk morning meeting pakai jersey Msia. 

"Aku nampak kau macam safee sali tadi hahahaha" Hlb MWD tegur aku.

"Aku lagi handsome lah!"

 Balik ke rumah sendiri. Ahh seronoknya tidak terkata. Walaupun bukan steak yang aku hadap di setiap menu. Walaupun pilihannya taklah sebanyak di rig tengah lautan sana. Walaupun hanya sekadar nasi putih, kicap masin dan telur goreng. Lebih senang dengan nasi putih, kicap dan telur goreng.


"Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri." Namun tetap kembali ke tempat sendiri.

Sunday, September 21, 2014

Memasak, Meroti dan Menghilangkan Tekanan

Assalamualaikum w.b.t.

"Meroti" adalah perkataan baru yang aku jumpa hujung minggu ini. Meroti adalah perkataan yang merujuk kepada Membuat Roti. Minggu lepas aku cuba buat sajian roti untuk sarapan pagi aku dan isteri selepas sesi latihan renang bersama-sama. Tapi bukanlah sesi latihan renang secara formal, latihan renang dekat kolam renang bawah rumah kami saja lah.

Sajian aku buat masa itu, aku copy paste dari rancangan memasak setiap Selasa pukul 9 malam di NTV7  kalau tak silap. Rancangan Gordon Ramsay's Ultimate Cookery Course.


Sajian bertemakan Street Food, Spicy Indian,  pasti sesuai dengan selera isteri aku yang tak berapa selera nak makan sejak akhir-akhir ini. Yang tekak dia boleh terima cuma yang pedas dan masam-masam sahaja.

Aku masakkan dia Spice Meet Wrap. Maaf tak sempat ambil gambar kami dah bedal sampai habis. Mula buatkan roti untuk dia punya Wrap. Uli roti, memang best, setiap kali kita tekan dia rasa macam tumbuk orang pun ada. Tapi aku tersilap, letak terlalu banyak mentega huhuhu. Wrap dia jadi terlalu berlemak dan naik muak bila makan banyak.

Daging kisar goreng bersama terlur hancur, sayuran hijau dan cili, memang terbaik. Isteri aku siap makan dengan nasi lagi sebab dia tak habis makan roti yang terlalu berlemak itu. Next time, aku cuba buat lagi dengan lebih baik. Aku dah beli tepung penaik dan yis. Minggu depan nak buat roti.

Malam ini aku masak Daging Merah macam yang orang masak bersama Nasi Goreng Daging Merah dekat kedai. Memang terbaik. Komen isteri aku, kalau pekat sikit mesti lagi sedap. Memang aku masak sedikit cair sebab aku trick tak masukkan tepung jagung dan isteri aku dapat detect. Dan penyesalan yang lebih dahsyat, aku termasukkan sesudu gula sebab aku rasa macam pedas sangat. Tapi bila makan dengan nasi, adehhhhhh. Merah menyala tapi manis. Spoil!

Tortilla dengan Serunding Ikan

Roti yang aku buat sudah cukup nipis namun masih sedikit keras. Sepatutnya lebih lembut dan gebu. Barulah boleh gulung dan masukkan apa-apa yang sedap dekat dalam dia.

Daging Merah Ala Thai

Rasa dia masih belum power, dan aku ini kali pertama aku menggunakan gula dalam masakan. Failed. Tak guna dah gula dalam memasak makan lepas ini.  

Macam biasa, aku selalu spoil bila mak ending penulisan aku. Anyway dari semasa ke semasa aku akan cuba untuk update blog ini. 

Sekian.

Sunday, September 7, 2014

100 Hari Bercinta

Assalamualaikum wbt

100 hari sudah kami bercinta
tangis dan gembira masih lagi muda
kisah kami baru bermula
harap sampai hujungnya kami bersama

100 hari sudah kami bercinta
aku gembira lihat isteri tertawa
kadang-kadang isteri keanak-anakkan
aku layankan sahaja

100 hari sudah kami bercinta
jom shopping beli hadiah
buat kejutan, isteri pasti suka
tapi nak beli apa ya?

100 hari sudah kami bercinta
isteri bekerja, aku juga sama
namun sedikit sahaja aku bekerja
alasan untuk keluar mempersiapkan kejutan

100 hari sudah kita bercinta
aku panggil isteri, sayang
isteri panggil aku abang
maka, abang cinta sayang!

sekian

sayang, jom kita terus bercinta.

Penonton dan pembaca!
Sila jealous!

Saturday, August 30, 2014

Anak Kita Wajib Menguasai Loghat!

Assalamualaikum wbt

Bahasa Jiwa Bangsa! Ini pegangan aku yang utuh dan kukuh. Walau bahasa aku tidak seindah lagu-lagu jiwang mendodoi jiwa. Namun aku tetap bangga berbahasa melayu dengan loghat utara aku. Kasar. Tapi aku yakin ia penuh kasih sayang dan budaya yang aku tak mahu ia pupus ditelan zaman.

Orang kita di bandaraya kuat sangat minum Coke agaknya, sampai loghat asal negeri mereka yang mereka tutur selama berbelas atau berpuluh tahun boleh terhakis dalam masa seminggu mereka ditempat orang. Bahaya Coke.

Bahaya lagi makanan-makanan ringan, makanan segera dan makanan jiwa yang sewaktu dengannya, bukan sehaja lidah terhakis. Hati, jiwa dan akal pun boleh luntur. Sesama kawan orang guaq pun boleh sebut 'kite', 'mereke', 'korang'.

Parah lagi bila, sudah semacam mesin photostat bangsa kita kita tanpa mengira generasi. Apa sahaja yang dirasa comel, bergaya, cantik dan menarik, terus sahaja di fotokopi tanpa usul periksa. Kalau dalam bahasa agama dikatakan taqlid buta.

Berapa ramai nenek dan datuk hari ini tidak lagi kita dengar bergelar tok, tokwan, tok ki, wan dan sebagainya mengikut geografi tempat. Semuanya nak guna 'mak tok', 'tok ayah'. Ini belum lagi gelaran yang selalunya kita dengar sebagai pak/mak su, pak/mak ndak, pak/mak teh ditukar ganti dengan ayah, mama, mak dan lain-lain lagi.

Tahukah anda? kenapa perkataan 'mak', 'ayah' ini ditambah kepada tok dan sebagainya? sebab masa kecik-kecik bukan mak kandung atau mak sebenar yang jaga. Tok yang jaga, sebab tue digelar mak tok. Kalau ditanya 'Hang takda mak ka?'. Jawapan dia ada, 'Mak Tok'. Kira mak tok nie macam mak jadi-jadian lah. Jadi sesapa yang tak dijaga tok (nenek/datuk) sepenuhnya. Tak payahlah nak gedik guna panggil nenek dengan gelaran MAK TOK.

sekian

Wednesday, August 6, 2014

Raya Vs Kerja

Assalamualaikum w.b.t

1 - Hari ini, hari pertama masuk kerja selepas bercuti sempena hari raya.
2 - Langsung tidak sama seperti hari pertama bekerja lebih kurang 1.5 tahun lalu.
3 - Lembik, lemau, mengalir, mengesot
4 - Raya?
5 - Jangan ditanya
6 - Tidak berpuas hati
7-  Masa tidak mencukupi

Wednesday, July 16, 2014

The truth is..I'm the 'Iron Man'

Assalamualaikum


Hari ini dalam sejarah, setelah berkahwin lebih sebulan. Hari ini adalah hari pertama aku seterika seluar aku sendiri selepas kahwin dengan isteri tersayang ini. Bukan sebab isteri tak nak seterika, tapi beliau terlalu letih. Sudahlah menghadap bermacam-macam perangai pesakitnya di wad. Kemudian menghadap pula perangai kawan-kawan sekerja yang juga bermacam ragam. Balik rumah, memasak pula untuk aku berbuka puasa sambil-sambil basuh dan keringkan baju.

Namun bukanlah, aku berkecil hati. Cuma lama tak seterika baju dan seluar sendiri. Dah kekok pula. Macam poyo pulak kan. Tapi serius, aku seterika dengan sangat berhati-hati tadi takut lari dia punya garisan. Aiceh! walhal sebelum kawin, aku redah je mana-mana garisan kat seluar tue. Bukan apa, satunya aku tak maulah nanti kawan-kawan aku perasan ada 2 garisan, nanti dicakap isteri aku tak pandai seterika seluar pula, walhal aku sendiri yang seterika. Kedua, nanti akan menyusahkan isteri aku nak jadikan satu garisan balik pada seluar ini. Dah jenuh dia kena tekan seterika. Kesian isteri sendiri.

Cerita seterika baju dan seluar ini dah lama sebenarnya aku nak cerita. Dulunya sebelum kahwin, antara perkara yang paling aku malas nak buat adalah seterika baju di subuh hari sebelum pergi kerja. Dan setiap kali bilamana aku nak seterika baju, aku akan sebut-sebut "Kalaulah ada isteri kan senang. Tak payah seterika baju". Jadi selepas kahwin, isteri aku pun dah ketahuan dengan perangai aku yang malas nak seterika baju kerja. Jadi memang dia akan seterika baju kerja aku stok untuk seminggu. Termasuk baju uniform kerja dia.

Disebabkan banyak baju nak kena seterika aku terpikir, mungkin aku patut belikan dia papan seterika yang lebih kukuh, seterika yang lebih berat dan kerusi yang lebih selesa untuk dia duduk seterika baju. At least menunjukkan aura keperihatinan seorang suami mithali, perghhhhh. Oklah, dah melalut aku nie. Anyway aku cuma nak cerita kepelikkan aku seterika seluar kerja sendiri selepas hampir 60 hari berkahwin.

Sekian

Walaubagaimanapun aku tetap rasa cool dengan watak, Tony Stark sebagai Iron Man.


Sunday, July 13, 2014

Mengidam Lagu Arab


Assalamualaikum

Ini kisah hujung minggu ini. Nak kata lawak ke dak aku pun tak taulah nak kata. Semenjak rumah aku bertelevisyen nie setiap hari, setiap masa Tv dekat rumah aku nie bersiaran Tv al-Hijrah. Nie isteri aku punya pasal lah. Nak tengok azan pun bukak Tv al-Hijrah. Kiranya 24 jam lah aku dan isteri menjadi penonton tegar Tv Al-Hijrah, termasuk waktu berbuka dan bersahur.

Dulunya kalau aku bukak Tv al-Hijrah nie, dah tentunya aku tengok rancangan 30 Minit Ustaz Don dan rancangan Fattabiouni, rancangan tazkirah syeikh2 arab tue. Best sebab cara mereka memahami Islam itu berbeza sangat-sangat dengan cara orang-orang Islam di Malaysia ini memahami Islam. Mereka memahami Islam dengan cara yang lebih meluas dan lebih indah.

Cara syeikh-syeikh arab ini menyampaikan dakwah, sebutan, nada, idea dan analogi yang digunakan. Subhanalah sangat-sangat indah. Sapa yang keras-keras sangat tue boleh lah layan Fattabiouni kat Tv al-Hijrah setiap kali sebelum azan berkumandang. Perkara yang disampaikan itu nampak macam simple-simple saja. Tapi pada pendapat aku, perkara ini bukan simple, tapi perkara asas.

Perkara asas seperti ini, kita perlu faham dengan jelas supaya kita sentiasa memancarkan kata-kata, perbuatan dan pemahaman yang betul di atas landasan Islam. Pemahaman asas ini penting seperti pasak kepada Iman dan Islam. Kalau analoginya seperti tapak sebuah bangunan yang tinggi. Perlu kukuh dan benar-benar kuat. Kalau tidak masakan bangunan yang tinggi itu dapat berdiri teguh.

Sebab itu pendapat aku secara peribadinya, kalau ada sesiapa yang dulunya jauh daripada Islam. Kemudian, Alhamdulillah, Allah bukak hati untuk kembali ke jalan yang benar. Perlulah berhati-hati dalam mencari jalan pulang. Takutnya ada pihak cuba mengambil kesempatan untuk memesongkan pemahaman kita yang baru-baru nak kenal Islam ini.

Ingatlah syarat Taubat ini ada 3, kata naqib usrah aku masa di UTP dulu. Pertama, insaf iaitu rasa bersalah. Kedua, ilmu menunjukkan insaf sahaja tidak cukup, mesti berusaha mencari ilmu yang betul mengenai Islam. Dan ketiga, yang paling susah ialah tidak mengulangi lagi kesalahan lalu. Dengan cukupnya 3 perkara ini, barulah Allah terima taubat kita.

Main Lompat-Lompat
Banyak aku tengok berlaku hari ini. Ramai orang-orang di Malaysia yang masa mudanya lalai, tiada beragama. Fokus kepada kerjaya. Bila dah tua-tua, dah kaya-kaya, dah senang-senang, baru nak belajar agama. Tapi tak nak pula nak belajar ke masjid atau surau sebab dulunya mungkin tak pernah jejak. Malu dan ego tue masih ada. Jadi dicarinya kelas-kelas mengaji agama yang tidak tahu asal-usul. Yang sampai-sampai sahaja sudah bincang bab-bab yang susah-susah, yang besar-besar seperti fikh (ramai orang suka bab fikh sebab nak orang nampak kita nie betul dan kita boleh tegur orang bab hukum hakam, tambahan orang Melayu kita nie sensitif sangat bab hukum).

Perkara asas pula diabaikan. Dengan sebab inilah munculnya golongan-golongan elit yang nampak alim dengan pakaian tapi pemahaman agama mereka pelik. Bergaduh pula dengan ustaz-ustaz kerana pemahaman Islam dalam perkara asas tidak kuat. Tidak adanya sifat berlapang dada, tidak menampakkan Islam itu indah seperti mana yang ditonjolkan oleh kebanyakkan syeikh-syeikh arab. Mereka tahu dimana perlu berlembut dan dimana perlu berkeras. Orang melayu kita, semua benda nak berkeras dan menampakkan Islam itu susah dan mengelirukan.

Nauzubillahi.

Moga Allah lindungi kita dan meneguhkan hati kita daripada berbolak balik.

Sekarang ini juga, dah kata duk layan Tv al-Hijrah jadi semua lagu-lagu arab, lagu tema rancangan di Tv al-Hijrah tue bermain-main di bibir. Sedap pulak lagu-lagu arab tue. Isteri aku apa lagi, dia suruh aku download semua lagu-lagu tue. Mengidam lagu arab pulak agaknya.

Sekian.

Sunday, June 29, 2014

Malukan Bangsa di Kaunter Bayaran

Assalamualaikum

Aku dengan 3 barang sedang beratur di kaunter express tidak lebih 10 barang. Di depan ada makcik slumber bapak beratur di dalam barisan yang sama dengan barang-barang penuh 1 troli.

Seorang uncle cina yang beratur di belakang makcik tadi tegur sambil tunjuk ke arah signboard 10 barang. Makcik tue buat tak tau.

Aku pun fed up dengan line yang panjang, ada pulak orang buat perangai macam tue. Aku pun keluar daripada barisan dan beratur di kaunter lain. Harap lebih cepatlah.

Sekali aku dengar suara jerit-jerit orang bergaduh. Aku intai-intai, rupanya makcik tadi bergaduh di kaunter sebab casher suruh dia angkat barang dia yang banyak2 tue masuk balik dalam troli dan pergi beratur dekat kaunter lain.

Selepas tue Makcik tue pun sambil marah-marah berjalan. Dengan anggapan dia betul dan casher tue salah. Ruginya aku pindah barisan sebab selepas itu kaunter express jadi betul2 express dan aku yang tersangkut dan makcik tadi mai baratur di belakang aku, masih bising-bising dengan maki dan hamun.

Banggalah dengan bangsa kamu tue

Assalamualaikum

Satu Hari Yang Panas

Assalamualaikum

Lama sangat rasanya tak update blog nie. Malas nak buka laptop. Nie update thru phone saja. Apa nak keluaq sat lagi tak tau lah.

Alhamdulillah Ramadhan sekali lagi dah tiba. Bezanya Ramadhan kali ini berdua dengan isteri. Aku harap kalau tak banyak pun, insyaAllah akan kami bawa beberapa hikmah daripadanya.

1. Kepelikan
Tak tau nak mula macam mana. Dulunya sebelum kahwin duk plan macam-macam nak buat supaya rumah tangga kami adalah rumah tangga yang diberkati. Tapi lepas kahwin, masing-masing dengn tanggungjawab masing-masing. Masa kami sama-sama ada di rumah pun tak banyak.

Namun alhamdulillah solat berjamaah suami dan isteri kami lakukan setiap kali solat di rumah. Aku masih mencari tuning untuk mendapat rentak dalam bab 'mendidik isteri'. Takkan setiap.masa nak bagi ceramah kan? InsyaAllah, setakat perkongsian Islamik apa-apa tajuk yang aku pernah baca bolehlah. Aku pun bukannya ustaz. Dan ada masanya nak masuk ke tajuk macam tue, ada rasa janggal lagi dan macam tak kena ja.

2. Idea
Bab yang paling isteri aku risau adalah bab penyediaan makanan. Amboi bahasa. Kira senang.cerita dia tak tau nak masak apa. Dia takut aku tak lalu makan pulak kalau dia masak ikut menu yang dia nak. Jadi, setiap hari dia call/sns tanya "abang nak makan apa hari ini?". Jadi jenuh jugak aku mikior menu nak makan. Sebab aku tak kisah pun, boleh makan ja apa yang ada.

Tapi memikirkan keikhlasan dan kesungguhan isteri aku tanya. Aku pun google lah apa menu dan resepi. Kalau tengok2 gambar kot2 ada yang rada teringin nak makan. Kadang2 aku rasa, biar aku masaklah sebab aku dh habis idea fikir nak makan apa. Isteri kata 'sedap, pandai abang masak'. Dia tak tau, aku google ja resepi tue. Tapi la dia dh tau laa..

3. Plan
Ramadhan ini aku sebagai ketua keluarga. Sebenarnya agak berat tanggungjawab ini. Jadi akulah yang akan membentuk keluarga sakinah ini insyaAllah. Isteri ku kerjanya tak menentu. Jadi hari yang dia available, aku plan nak ajak bersolat tarawikh di masjid2 sekitar atau jauh pun boleh. Boleh jalan2 sambil2 beribadah.

Disamping itu ada juga kuliah2 dhuha atau kuliah asar untuk muslimat. Kalau dia larat, aku boleh hantarkan. Nanti malam cerita balik apa yang dia belajar. Dia pulaklah jadi ustazah, aku jadi murid. Dalam rumah tangga keduanya mesti memainkan peranan sebagai ahli yang aktif. Memberi dan menerima.

Cukuplah setakat ini, nanti sambung lagi. Jom solat.zohor. Then aku nak hantar isteri pergi kerja.

Assalamualaikum

Monday, May 19, 2014

Mahar Cinta: al-Quran Hantaran

Assalamualaikum w.b.t
Tengah hari tadi sempat seketika aku scroll wall di FB. Nampak seorang sahabat post tentang “al-Quran sebagai Mahar Perkahwinan”.  Alhamdulillah jika masih ada wanita di luar sana yang mahu menerima al-Quran sebagai maharnya.

Memandangkan aku pun kini dalam persediaan untuk majlis yang sudah tidak beberapa hari lagi, aku pun terpanggil untuk memberi pendapat dan falsafah aku dalam penggunaan al-Quran dalam majlis perkahwinan Melayu.

al-Quran sebagai mahar aku biarkan dulu kerana pada aku andaikan semua bersetuju tidak ada salahnya menggunakan al-Quran sebagai mahar. Pernah juga aku dengar kisah-kisah perkahwinan sepertinya yang perlu aku lebih selidiki.

Apa yang nak aku bicarakan kali ini adalah salah satu adat perkahwinan orang Melayu di Malaysia adalah menjadikan al-Quran sebagai salah satu isi dulang hantaran daripada berbelas dulang semuanya. Bab bilangan dulang juga biar aku tinggalkan dahulu. Kita cuma tengok dari segi al-Quran sebagai isi dulang sahaja dahulu.

Aku pun seperti orang lain juga mulanya. Niat nak menghadiakan senaskah al-Quran terjemahan kepada bakal isteri. Moga-moga ia menjadi sesuatu yang sentimental dan memotivasikan dirinya untuk membaca dan memahami al-Quran dengan lebih mendalam.
Disebabkan aku berniat untuk menghadiahkan dia al-Quran, maka dia berniat pula menghadiahkan aku kitab hadis. Sahih Bukhari, Sahih Muslim atau kitab Hadis 40. Dealnya seperti itulah, selama seminggu sehingga aku kembali ke Pustaka Mukmin berseberang jalan dengan SOGO.

Bila sampai disana, perkara pertama meh kita cari kitab hadis. Aku jumpa Sahih Muslim, namun susah nak keluarkan dari susunan buku yang bertingkat-tingkat itu. Aku minta pertolongan daripada pekerja kedai yang ramah. Dia pun tolong aku ambil Sahih Muslim dan dia turut beri aku pegang Sahih Bukhari untuk aku intai-intai mana lah tahu nak beli keduanya.

Aku buka kedua kitab setebal kamus dewan edisi ke-3 tersebut. Huaaaa! Hadis riwayat Bukhari, Muslim padat disusun di dalam kitab tersebut. Hadis beserta terjemahannya. Tapi kitab ini hanya Hadis dan terjemahan tanpa keterangan dan huraian. Boleh sesat aku kalau tidak berguru dengan gaya penulisan kitab ini. Dia pun setuju.

Jom kita cari sesuatu yang ada huraian dan keterangan. Secara peribadinya aku tidak memilih kitab fiqh untuk pembacaan sendiri kerana ia perlu berguru. Aku lebih prefer kitab-kitab sirah, tatatertib, adab dan sesuatu yang mudah dihadam. Sambil berjalan ke belakang lagi.

Eh! Fadhail Amal! Kitab tentang fadhilat atau kelebihan melakukan ibadah. Lama juga aku cari kitab ini tapi tidak ketemu. Aku pun ambil, selak-selak. Wah! Ada hadis 40 juga dalam kitab ini beserta keterangan/huraian. Bagus! Chupp dulu kitab ini.

Jom jenguk-jenguk lagi kalau-kalau ada lagi kitab-kitab yang menarik. Disana aku jumpa juga Fiqh al-Auliyat, Buluqul Marram, Riyadus Solihin dan lain-lain kitab yang femes. Aku cari juga kitab Muhimmah tapi tidak berjumpa.

Baru satu yang confirm beli. Belum sampai KPI keluar ke sampai SOGO lagi nie. Sementara 
aku dah hilang dalam excited nya mencari kitab-kitab tersebut. Dia ingatkan aku “Kata nak cari al-Quran.” Dan saat itu aku berfikir. Aku sudah ada al-Quran terjemahan saiz poket, aku selesa dan rasanya sangat pratikal menggunakan al-Quran tersebut. Dia juga sudah punyai al-Quran terjemahan.

Nie nak beli satu lagi al-Quran hanya untuk dijadikan barang hantaran. Dah tue mestilah kena beli yang besar dan cantik. Untuk apa? Untuk buat hantaran semata. Aku takut lepas kahwin nanti al-Quran mahal tue berhabuk sahaja takda sapa yang nak buka. Baik aku pun hadiahkan kitab atau buku-buku ilmu jugalah.

Lagipun macam manalah aku nak jadi suami yang mithali kalau sekadar beli al-Quran terjemahan, lepas tue suruh isteri belajar sendiri. Bukankah tanggungjawab aku nanti mendidik dia menjadi seorang isteri yang solehah.

Oklah, jom cari kitab juga. Kita bertukar-tukar kitab sajalah. Aku rasa itu yang terlebih baik daripada menghadiahkan al-Quran dengan size yang tidak praktikal untuk digunakan. 2 jam sudah, namun hanya 1 kitab sahaja yang confirm untuk dibeli.

Dan ketika dekat-dekat dengan kaunter pembayaran barulah aku terfikir, dulunya aku pernah beli buku “Indahnya Hidup Bersyariat”. Namun sebab mak dah chupp buku tue kat rumah aku ada berniat nak beli lagi satu. Tapi masih tidak kesampaian. So dah alang-alang nie, jom cari indahnya hidup bersyariat pulak. Akhirnya, 2 jam 2 kitab dibeli.

Apa yang aku nak sampaikan disini dalam majlis perkahwinan orang Melayu:

1. Orang Melayu kita ini suka sangat mencari berkat pada fizikal sesuatu perkara tanpa ilmu. Contohnya dijadikan al-Quran sebagai hantaran kononya berkat tapi tidak pula dibacanya. Salam cium tangan tuan guru, solat di belakang tuan guru tapi malas menuntut ilmu macam tuan guru.

2.  Bila kita nak beli barang hantaran berbentuk material keduniaan. Kita mampu berfikir baik beli yang hendak diguna selepas kenduri nanti seperti pakaian, alat mekap, game pun ada, gadget dan lain-lain yang sampai berkerut dahi fikir tetapi dalam barangan untuk akhirat cukup sekadar al-Quran tak mau fikir banyak dah.

3. Kalau diikut adat yang sebenarnya, salahlah apa yang dilakukan oleh orang-orang Melayu hari ini. Sebenarnya hantaran dalam dulang itu bukan untuk pengantin asalnya. Ianya adalah hadiah untuk keluarga pengantin. Diletakkan makanan, manisan, buah-buahan. Bila malam selepas kenduri, adik beradik, sanak saudara bolehlah turut berkongsi kegembiraan bila pengantin membuka hantaran. Tapi dah kalau kesemua 9 dulang, semuanya barangan peribadi pengantin. Adik beradik dan sanak saudara juih mulut sahajalah.

4. Barang hantaran yang berdulang-dulang itu bukankah akan diarak bersama pengantin. Ia turut menjadi tatapan mata para tetamu. Alhamdulillah bagusnya bila barangan dalam dulang itu, kesemuanya adalah barang yang akan mengingatkan orang yang melihatnya kepada Allah.

5. Terlalu banyak pembaziran dilakukan dalam sesuatu majlis perkahwinan demi untuk nampak cantik dan dipuji tetamu yang hadir. Astaqfirullah. Janganlah membazir. Kecantikkan baju pengantin, lawa tak lawa bukanlah tanda kebahagiaan rumah tangga yang akan dilalui selepas itu. Ramai daripada kita berfikiran cetek. All out masa kenduri tapi lepas kahwin hampeh. Pengantin lawa-lawa masa kenduri nak bagi orang tengok, tapi lepas kenduri apa sudah jadi?

6. Aku amat-amat tidak bersetuju dan pantang tok nenek aku kalau ada orang cakap depan aku “Nak kahwin sekali seumur hidup, apa salahnya”. Memang salah. Islam tak ajar begitu. Pada aku ianya macam ungkapan “Hidup Cuma Sekali, Jomlah enjoy habis-habisan.”

Wah! Dah panjang sangat aku tulis nie. Oklah aku harap post kali ini sedikit sebanyak memberikan sesuatu untuk difikirkan. Moga apa yang aku impikan untuk majlis perkahwinan nanti adalah yang terbaik untuk semua orang dan dapat dilaksanakan. Amiiinnn
Wasalam .

Hantaran Aku dan Dia. Masih mencari lagi. Mohon cadangan lagi?

Monday, May 12, 2014

Dia Yang Terduduk Di Jejantas Itu

Assalamualaikum

Mereka mungkin pernah hidup seperti manusia biasa. Punya rumah, biarpun kecil. Punya baju-baju yang cukup untuk dipakai, biarpun bukan berjenama. Punya makan yang cukup, biarpun taklah semewah mana.

Aku lihat dia terduduk di pinggiran laluan jejantas dari LRT ke SOGO. Duduk bersama ibunya yang meriba adik kecilnya. Muka ibunya menoleh dari laluan orang, malu mungkin. Aku tengok dia, kaku melihat terus ke depan tanpa menghiraukan orang lalu lalang yang memandang mereka. Di depan dia, ada sehelai kain dihampar, memohon sumbangan ikhlas.

Muka dia merah padam seperti menyimpan dendam. Mungkin bukan permintaan mereka untuk duduk mengemis di jejantas itu. Mungkin mereka "terduduk" di situ. Kasihan. Dia sepatutnya ke sekolah hari itu. Belajar sains, belajar matematik, belajar bahasa inggeris supaya dia kelak mempunyai pengetahuan dan tidak ditipu atau ditindas masyarakat.

Namun hari itu dia bersekolah di jejantas itu, kelasnya tiada kerusi meja. Berteman ibunya, gurunya kita. Kita, orang yang lalu lalang di kawasan laluan jejantas itu. Ada gurunya baik, ada gurunya tak hirau, ada gurunya garang, ada gurunya menyindir dan ada gurunya buruk sangka.

Hari itu dia belajar, bagaimana kalau tak mahu ditindas masyarakat yang menindas.

Sunday, March 30, 2014

Dan Akhirnya Untuk Diri Ini

Assalamualaikum

Nak ceritalah. Hari ini aku saja nak adventure sikit. Saja nak try benda baru dan keluar dari kepompong keselesaan kata orang. Niat aku, hari ini nak ke plaza lowyat membeli aksesori kamera. Semalam lagi dan decide nak beli apa. Antara barang yang nak di cari, Lens, UV Fileter, Battery Grip dan Battery. Cukuplah untuk tahun ini.

Cerita dia bermula malam semalam bila aku decide untuk naik bas rapid ke lowyat kali ini. Dulu naik tren, tapi penat bak hang. Mula-mula kena menapak lebih kurang 15 minit ke stesen putra lrt wangsa maju. Naik Lrt ke dang wangi, kawasan mail lambong tue. Then kena menapak pulak lebih kurang 5 minit dari stesen putra lrt dang wangi ke stesen monorail bukit nenas.

Monorail nie pulak, bukan hampa tak tau. Lembab macam siput. Lepas tue, kedekut. Buat pendek-pendek saja. Dah la tadi dalam lrt dah kena berdiri 7-8 stesen. Naik monorail pun kena berdiri jugak. Sebab orang berjuta nak naik sedangkan monorail 2 couch saja.

Dari bukit nenas ke stesen bukit bintang. Menapak lagi lebih kurang 15 minit baru lah sampai ke lowyat peluh-peluh. Habeslah segala minyak wangi ke deodorant ke apa lagi yang dipakai. Kalau lelaki tue oklah sikit. Tapi kalau perempuan memang habeslah. Dengan berhimpit-himpit dalam monorail tadi. Semua ada, bangla, vietnam, mapley, apa lagi semuanya import. 1 Malaysia!!!.

Menurut kepayahan nak ke lowyat dari cerita diatas. Semalam aku buat keputusan muktamad untuk kali ini. Pergi lowyat dengan bas. Alhamdulillah. Lagi senang cerita dia.

Aku turun rumah, menapak dalam 3 minit ke pondok stesen bas terdekat. Depan rumah nie saja. Tunggu bas dalam 20 minit lama sebab first time, tak tau jadual bas pukul berapa. Dalam website rapid pulak tak cakap. Depa tulis waktu operasi 6am-11pm saja. Bas sampai lebih kurang pukul 12 tgh hari. Naik bas, bayar rm2.50 ke bukit bintang. Duduklah dalam bas. Ada aircond. Siap pasang lagu Jamal Abdillah lagi.

1 lagi kelebihan naik bas nie. Boleh tengok suasana. Pergh masa aku lalu jalan TAR dan SOGO. Patutlah orang perempuan suka pi sana. Macam bazaar ramadhan. Apa depa beli tak tau kat jalan TAR tue.

Aku turun bas sebelum sampai simpang empat depan plaza bukit bintang. Lepas sikit sephora dan pavilion tue. Menapak dalam 15 minit ke lowyat. Peluh pun sikit-sikit sajalah. Segar bugar lagi. Bau minyak wangi pun tak hilang. Sebab memang takda orang pun naik bas tue. Adalah dalam 15 orang macam tue paling ramai pun.

Cerita pasal bas rapid KL. Mai sini aku cerita keterujaan aku terhadap bas ini.

Mula sekali dia punya bas selesa dan bersih. Terbaik. Aircond sejuk dan tingkap dia luas. So aku boleh la menikmati sepanjang perjalanan ke tempat yang aku tuju disamping aku dapatlah hafal sikit-sikit jalan-jalan di tengah-tengah kota Kuala Lumpur.


Tengok bas dia, takda orang naik pun. Tak payah nak sesak-sesak macam dalam lrt.

Kalau korang macam malu ka atau malas nak tanya driver berapa tambang korang dan korang malas jugak nak sediakan duit RM1.90 cukup-cukup sebab driver bas tak boleh kasi duit baki. Korang boleh gunakan kad rapid atau kad touch and go.

Touch saja kad korang dekat benda hitam tue. Satu ada depan driver masa korang naik dan satu lagi kat pintu tengah bas masa korang nak turun.

Sepanjang perjalanan aku dapat kenal pasti sesuatu yang pelik pada pintu bas rapid nie. Aku duk tengok orang yang keluar dekat pintu tengah bas tue. Pintu tue macam boleh tau ada orang nak keluar ikut pintu tengah tue. Aku perhati tengok, driver bas tengah kutip duit kat depan, dia tak tekan apa-apa pun. Macam mana pintu bas yang tengah tutup nie boleh terbuka sendiri bila ada orang mendekati dia.

Lepas duk perhati. Baru aku perasan pressure sensor rupanya. Pijak dan pintu terbuka. Bijak, bijak, bijak.

Tapi kalau pressure sensor fail macam mana?

Jeng jeng jeng!!! Atas pintu tue ada CCTV.

Sampai saja di lowyat. Aku naik escalator. Dari tingkat bawah tue sampai tingkat atas sekali. Tengok apa yang ada sebab dah lama tak pi lowyat nie. Bahagian kamera di tingkat upper ground ka lower ground tak tau. Pening lah nama tingkat dia. Sebenarnya tingkat 1 lah. Naik je escalator sampailah bahagian kamera. Atas daripada tue semua handphone dan laptop.

Pusing punya pusing. Aku belilah 4 barang kamera yang aku dah plan semalamnya.

1st aku cari: Lens Tokina 11-16mm Version II sebab dia yang paling mahal. Pusing habes aku tanya. Kebanyakkan best price RM2100. Itu sudah overbadget. cari lagi dan cari lagi. Best aku jumpa RM1900 tapi tak jual pulak battery grip. Aku pusing lagi sampailah ke kedai nie. Tarita. Kedai aku beli kamera digital buat pergi offshore dulu.


Dia offer aku RM1800 untuk lens. Tapi kalau aku angkat semua 4 barang dia boleh bagi less untuk kesemua barang. Aku cakap yang Bajet aku lebih kurang RM2000 ja. Dia suggest aku bayar cash sebab kalau kad kredit satgi kena lagi 3%. Jadi aku pun menapak dan naik lah escalator ke tingkat paling atas sekali cari CIMB nak keluar duit.

Bargain punya bargain dapatlah aku beli

Barang Pertama: Lens Tokina 11-16mm Version II

RM1800 (Harga Asal RM2600)

Barang Kedua: Battery Grip (3rd Party)
RM180 (Harga asal RM230)

Barang Ketiga: Battery LP-E8 (Original Canon)
RM70 (Harga Asal RM160)
***Battery ada orang pesan dekat aku beli yang original, kalau 3rd party takut rosak kamera.

Barang Keempat: Lens UV Filer
RM100 (Harga Asal RM 190 kot, yang nie aku tak serius tak ingat)

Inilah semua total beli belah orang lelaki selama 2 jam = RM2150. Sebab tue, orang lelaki tak shopping selalu dan lama-lama macam orang perempuan.

Dan, inilah rupa paras kamera aku yang terbaru.

Sekian.

P/S I: Ada orang pesan, kalau nak beli barang yang mahal-mahal. Beli siap-siap sebelum kahwin. Lepas kahwin bukan tak boleh beli tapi rasa bersalah ya 'amat.

P/S II: Since kamera aku dah nampak semakin ganas, aku kena cari nama barulah untuk dia. Korang ada cadangan?

Saturday, March 29, 2014

Bahagia Dengan Memberi

Assalamualaikum

Alhamdulillah, seminggu yang lepas aku menerima sedikit daripada rezeki Allah. Alhamdulillah. Semua orang yang dapat rasa gembira. Ada yang simpan untuk preparation kahwin. Ada yang buat beli barang. Ada yang belanja keluarga. Ada yang belikan hadiah untuk ahli keluarga. Ada yang melancong ke luar negara dan aku dengan plan aku tersendiri.

Mak pernah cakap, dalam duit gaji yang kita dapat tue, bukan semua hak kita. Ada hak orang lain jugak. Dan dalam siri-siri kuliah juga. Ustaz-ustaz ada bercakap, duit dan harta yang ada di dunia ini bukan lagi milik kita. Yang menjadi milik kita sepenuhnya adalah duit yang kita sedekah/wakaf untuk berbuat kebaikkan.

Contohnya kadang-kadang kita rasa kedekut nak memberi di tabung masjid. Kita rasa RM50 tue besar sangat. Kita boleh beli macam-macam lagi barang kegunaan kita. Tengok-tengok keluar masjid, tayar motor pecah. Tengok duit tadi bukan milik kita. Milik cina pomen motor juga.

**pomen merujuk kepada mekanik dalam loghat orang utara.

Dalam kisah Sahabat, Salman al-Farisi, Saidina Ali R.A dan buah delima menunjukkan bertapa yakinnya orang Islam dahulu kepada Allah. Bila kita bagi 1 dengan ikhlas maka Allah akan balas 10. Dan pada hari ini, ramai orang tidak yakin lagi dengan Allah. Maka mereka menjadi materialistik dan kedekut untuk memberi.

Aku beri sedikit kepada mak. Mak beli handphone baru, selebihnya mak beli kain langsir, kain hiasan dan cermin untuk bilik aku nanti. Aku happy sangat tengok mak happy. Aku beri sedikit kepada abah, abah senyum simpul. Abah ambil separuh sahaja buat bayar upah orang buat rumah kami, separuh lagi diberi balik pada aku. Abah. Sampai bila-bila pun abah tetap abah.

Aku beri sedikit pada pusat tahfiz. Bantu mereka. Aku rasa mereka perlu bebas daripada pendidikan jumut negara ini. Biar mereka terjaga kerana mereka adalah harapan kita di masa depan. Moga-moga ini boleh dijadikan bekalan untuk aku berjumpa Allah kelak. Moga Allah redha.

Dan akhir sekali, aku simpan sedikit untuk aku sendiri. Yang aku beli barang-barang kamera hari ini. Selebihnya untuk masa depan aku/kami. Semoga Allah redha.

Sekian.


Monday, March 17, 2014

Yang Maha Pemurah

Assalamualaikum

Setelah rakyat Malaysia hampir seluruhnya terkejut dan bersedih dengan musibah-musibah yang telah melanda negara tercinta. Sejak 3 hari lalu, bumi bertuah ini telah Allah turunkan hujan. Allahuakhbar. Alhamdulillah. Sepanjang hari dari pagi yang sejuk sehingga sejuk datang semula saat matahari terbenam. Lembab dan selesa.

Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah. Maha Memberi rahmat dan nikmat kepada seluruh umat manusia tanpa mengira tahap iman. Alhamdulillah. Mengigatkan sayangnya Allah kepada kita semua berbanding dengan apa yang kita buat pada hari ini. Sebak hati aku.

Kita sudahlah jatuh ditimpa tangga. Bermula dengan banjir di pantai timur semenanjung, kemudian Malaysia dilanda pula kemarau yang teruk. Panas, sampaikan hutan pun terbakar dengan sendirinya. Kemudian jerebu teruk pula datang. Kuala Lumpur kelam segala pancakar langit hilang gemerlapnya. Dan kejadian paling kontroversi serta penuh konspirasi, kehilangan pesawat MAS MH370 tanpa sebarang petunjuk.

Disaat segala kejadian berlaku, segala yang haq dan batil timbul jelas. Siapa di pihak yang betul dan siapa di pihak yang salah jelas memberitahu kedudukan mereka tanpa mereka sedar. Orang yang telah jauh dari ajaran Islam semakin jauh dan yang mengingatkan manusia kepada Allah semakin nampak benarnya. Allahurabbi. Kuasa dan pengajaran kepada daripada Allah.

Allah telah tonjolkan dengan jelas antara yang haq dan batil, supaya rakyat Malaysia tidak lagi ditipu oleh pemimpin yang mereka "sembah". Kemunculan raja bomoh, kemudian kenyataan demi kenyataan pemimpin tertinggi negara. Tindakan yang tidak diambil kepada orang pihak yang jelas salah. Nampak benar komprominya, kroni dan komplot dalam perkara yang salah tidak dapat diselindungkan lagi oleh pihak itu.

Komen-komen rakyat Malaysia di FB pula menggambar tahap iman dan ilmu rata-rata rakyat di negara ini. Astaqfirullah, tepuk dahi aku membaca. Sakit hati pun ada. Jelas perkara syirik itu, masih ramai yang sokong. Allahuakhbar.

Dalam sibuk huru hara, segala kementerian yang cuba menutup perkara yang memalukan ini. Satu lagi aib dibuka Allah. Allahuakhbar. Mati overdose dadah dalam konsert tertutup. Konsert yang entah bila diluluskan. Dalam senyap-senyap. Sepatunya membuka mata rakyat jelata. InsyaAllah.

Sedangkan manusia yang mendengar berita pun, marah. Sepatunya Allah lebih layak untuk lebih murka kepada kita semua. Namun Allah masih sayang. Allah tetap beri hujan sehingga ke hari ini. Alhamdulillah.

Rentetan kes ini, menyedarkan aku bahawa dakwah orang Islam di Malaysia masih belum cukup. Masih lemah. Masih ramai orang Islam di negara ini tidak berilmu. Masih ramai yang sombong dengan Allah. Aku kesian. Aku takut Allah tanya aku, apa yang aku buat bila aku sedar semua ini. Aku nak jawab apa?

Aku fikir.

Sunday, March 16, 2014

"Depa" Tolak Orang Bersolat, Depa Nak Tok Bomoh Depa Jugak

Assalamualaikum.

Aku terbaca suatu pos dalam FB selepas subuh tadi. Astaqfirullah, tepuk dahi aku. Kesian, bertapa jahilnya masyarakat kita. Dahla jahil, sombong pulak. Lahaula wala ghuwataillah..

Hampa baca lah sendiri. Aku rasa hampa pun tepuk kepala jugak kalau hampa ada ilmu. Bukan aku nak kata aku pandai. Tapi Allah, aku tak tau nak kata apa dah. Speechless!


Gambar yang disebar: Solat fardhu dan solat hajat yang dianjurkan oleh Pemuda Pas di KLIA



Ditulis oleh orang yang asal share:

Kemudian gambar dikomen oleh puak-puak yang sama:











Hampa semua nilailah sendiri. Aku malas nak cakap apa, bomoh tak ditangkap, orang bersolat dibenci. Speechless!

Sunday, March 2, 2014

Pak Lebai Tengok Wrestling

Assalamualaikum

Di KL nie rumah burung dah jadi rumah standard untuk rata-rata masyarakat sini. Orang yang duduk di rumah atas tanah pulak menjadi satu kepelikkan. Kerana apa? bukan kerana dia nyanyian yassin, tapi kerana mereka mampu. Alhamdulillah, itu rezeki mereka. Rezeki kita siapa yang tahu.

Aku pun samalah, duduk di rumah burung. Rumah burung kelas kedua a.k.a apartment. Kalau condominium itu rumah burung kelas pertama. Rumah Flat yang beratus tingkat itu pulak, aku kategorikan rumah burung kelas ketiga atau kelas ekonomi. Rumah burung kelas kedua macam yang aku duduk nie, ok-ok sajalah. Walapun tak punya kolam renang, gym dan lain lain kemudahan. Parking disini tiada masalah. Tiada gangguan bising daripada jiran mahupun orang-orang di jalan raya. Semuanya perfect.

Al-kisah, ground floor rumah aku nie ada kedai-kedai. Kedai mamak, cybercafe, nursery jaga budak-budak, dobi, kedai fotostat dan kedai baiki motosikal. Kedai mamak nie, biasalah. Jadi tempat lepak rata-rata rakyat Malaysia. Kedai mamak bawah rumah aku nie, memang penuh kalau ada 2 rancangan. Bola sepak dan wrestling.

Kalau bola sepak, rata-rata penonton adalah dikalangan remaja dan belia. Ada yang kumpulan remaja ramai-ramai, mat motorlah terutamanya. Ada yang berkereta (bawak awek lettew). Kalau rancangan wrestling pulak, rata-rata penonton adalah orang tua. Paling ramai pemandu teksi dan pak lebai baru balik dari masjid agaknya. Ish ish ish!

Dulu-dulu masa tahun 2002 dan 2003, masa aku masih di bangku sekolah. Kami semua kalau nak tengok wrestling, abang-abang senior akan cakap "wei buang dulu kopiah tue". Arahan tersebut akan kami junior-junior dengar bila jejak saja kaki dalam bilik tv. Selalunya masa rancangan wrestling, mega movie (cerita mat saleh, biasalah!), drama mexico dan drama thailand (lepas solat jumaat, sama dengan cerita mat saleh jugak) dan filem hindustan setiap hari sabtu pukul 2 petang di tv3.

Motifnya disini. kalau nak tengok rancangan-rancangan macam tue, kalau boleh jangan sampai orang salah faham dengan Islam. Korang boleh hina diri aku, tapi jangan hina agama aku. Macam tuelah lebih kurang pengajaran dia dekat sini. Namun ia berlaku sebaliknya di dunia realiti. Yang pakai kopiah, yang pakai tudung tue lah yang over. Yang pakai kopiah parking bersepah, yang pakai tudung pakai baju kurung, dah chot chet chot chet macam burung.

Aku tulis ini sebagai nasihat kepada diri aku sendiri dan semua yang membaca. Sebab aku rasa penting untuk setiap manusia sedar akan pentingnya dan berat amanah yang dibawa bila mengenakan pakaian pakaian yang mencerminkan agama.

Ini baru bab adab-adab yang kita nampak zahirnya. Belum lagi termasuk bahasa-bahasa di FB dan laman-laman sosial yang lain. Kalau bab FB dan laman sosial nie, malas nk cerita sebab so sial.

Sekian.

Friday, February 28, 2014

Konflik Identiti Fizikal

Assalamualaikum

Tajuk kali nie macam untuk orang-orang highly educated sangat ja. Tapi jangan risau, actually apa yang aku nak tulis nie takdalah complicated macam nama saintifik jenis pokok paku pakis yang hidup di kawasan hutan hujan khatulistiwa.

Teringat dulu masa zaman-zaman sekolah menengah. Kalau pak-pak ustaz muda nie (refer kepada pelajar lelaki, maklumlah sekolah ugama) nak point ustazah-ustazah muda (refer kepada pelajar perempuan, maklumlah sekolah ugama) yang tak berapa ustazah sangat dekat sekolah. Aurat adalah point utama. Topik aurat nie boleh membangkit kemarahan dikalangan pelajar perempuan.

Kalau kiranya mereka, pelajar perempuan tidak cukup sabar. Boleh mogok di sekolah agaknya. Kalau disekolah aku dulu, warden spesifikasikan topik aurat adalah topik sensitif dan tidak boleh dijadikan topik untuk slot tazkirah pelajar.

Sehinggalah aku turut menjejak kaki di universiti. Aurat masih lagi jadi topik jagoan-jagoan ajk masjid yang "baru nak up". Gaya penulisan macam tak puas hati. Ada nampak-nampak macam tak setuju ja. Apa cerita nie pak lebai?

Aku bukan tidak bersetuju. Cuma betul kata orang usia mematangkan fikiran. Kadang-kadang kita terlalu fokus kepada satu-satu benda sedangkan kita lalai dalam aspek yang lain. Akhirnya kejayaan kita dalam sesuatu aspek akhirnya dilihat kegagalan didikan secara keseluruhan. Apa yang hang merepek nie pak lebai?

Contoh mudah. Kalau bab aurat lah! heh heh heh. Perempuan yang pakai tudung, tapi pakai baju tshirt lengan pendek, ketat dan sendat. Apa korang panggil? Baby-T? Yela kot nama dia tue, aku hentam saja. Memang didikan memakai tudung itu berjaya, namun secara keseluruhan pemahaman bab aurat dilihat gagal lah. Sama juga dengan orang yang sembahyang Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak di masjid lagi, tapi subuhnya skipped. Overall, masih gagal. Faham?

Orang beginilah aku kategorikan sebagai orang yang mengalami konflik identiti. Kalau yang perempuan yang bertudung, bajunya, seluarnya tak cukup kain pulak. Kalau yang lelaki berkopiah, beserban, berjubah, tapi pengotor lah pulak. Benda-benda macam nie, tidak lah mencerminkan Islam yang sebenarnya.

Mana ada orang sempurna pak lebai?

Pada aku "tak sempurna" bukan lagi alasan yang relevan pada zaman ini. Ia juga bukan alasan untuk kita terus berada di takuk yang lama. Kalau orang lain boleh buat, kenapa kita tidak boleh?

Manusia ini macam-macam ragam. Aku pernah dicerminkan kadang-kadang perempuan yang free hair itu lebih baik hatinya daripada perempuan yang bertudung litup. Even aku pernah kenal perempuan seumpama itu. Aku mohon dia diberikan hidayah Allah untuk tampil menutup aurat. Perempuan bertudung tak perlu nak emo dengan ayat aku part ini. Ini adalah cabaran kepada perempuan bertudung untuk lebih ikhlas dan jujur menampilkan imej Islam itu sendiri.

Sanggupkah anda menyahut cabaran ini?

Sekian.

Sunday, February 23, 2014

Antara Adat dan Syariat

Assalamualaikum

Dewasa ini (maklumlah sekarang dah dewasa kan..suka sangat guna perkataan "dewasa"). Dewasa ini, rakan-rakan, keluarga dan sanak saudara tidak jemu menyebut-nyebut soal perkahwinan. Pi sana orang tanya, pi sini orang tanya, balik bilik orang cerita, adakala kita pulak cerita kat orang. Kalau dihimpun-himpun boleh buat buku agaknya nasihat, permasalahan dan tips sebelum, semasa dan selepas majlis perkahwinan.

Apa yang menjadi topik paling hangat dalam banyak-banyak cerita pasal kahwin ini? Nak ikut adat atau nak ikut syariat? (Awat* skema semacam saja ayat aku malam nie)

*Awat (loghat utara) - merujuk kepada "Kenapa"

Keluarga aku sendiri pun sibuk dengan persiapan majlis perkahwinan anak mereka (heh heh heh). InsyaAllah, dalam lebih kurang 95 hari sahaja lagi. Dulu mak dan abah nampak macam tak kisah sangat. Semuanya Okay sahaja. Bangkang pun tak, sokong pun tak. Bila makin dekat dengan majlis, tiba-tiba abah pulak excited. Nak tergelak aku. Sibuk dia nak pi cari P.A System la, nak pi cari kumpulan kompang, ghasidah la dan macam-macam lagilah.

Balik kepada cerita adat dan syariat tadi. Anak muda, baya-baya aku ramai tengah confuse dengan perancangan perkahwinan sama ada oleh ibu bapa, pasangan atau bakal mertua mereka. Apa yang confuse? Masa dulu-dulu, cakap nak buat majlis simple-simple sudahla. Ikut syariat, itu yang paling penting. Bila dah dekat dengan majlis, *mai masuk semangat apa tak tau. Dah mula nak pentingkan adat lah pulak. Alasan "Kalau tak buat, *satgi orang kata apa pulak?"

*mai - merujuk kepada "datang/ ke-mari"
*satgi - merujuk kepada "nanti/ kejap lagi"

Yang nak pening kepala sapa lagi, kalau bukan bakal pengantin lelaki. Sumber kewangan utama kebanyakkan majlis perkahwinan melayu di Malaysia. Boleh botak memikirkan masalah kewangan. Orang yang meminta dan menggunakan duit, tak pernah fikir semua tue.

Dan kemudian muncullah kumpulan-kumpulan pejuang "perkahwinan mengikut syariat". Kononnya yang salah itu semuanya adat. Yang susah itu semuanya adat. Yang bukan-bukan itu semuanya adat.

Aku langsung tidak bersetuju, dengan motif perjuangan kumpulan ini. Mereka seakan-akan nak menghapuskan adat melayu dalam perkahwinan. Dimanakah perjuangan membela bangsa? (tetiba datang semangat pejuang kemerdekaan pulak).

Maaf, pada pemerhatian dan pendapat aku sendiri. Apa yang menyusahkan perkahwinan dewasa ini bukanlah sama sekali adat. Adat telah menjadi kambing hitam orang melayu. Dipersalahkan tanpa disoal siasat. Pada aku, siapa-siapa yang menyalahkan adat sebenarnya buta adat. Dia sendiri tidak pernah tahu, apa lagi kenal dengan adat bangsanya sendiri.

Aku malas nak buat pencerahan satu persatu untuk menjernihkan keadaan (chewwah ayat). Aku selalu bersembang dengan mak aku dan ada jugaklah membaca buku mencari-cari maklumat tentang kecelaruan ini.

Mengikut logik akal, kalaulah adat itu menjadi satu kepayahan untuk melangsungkan perkahwinan, kenapa masalah ini timbul dalam tahun-tahun ini sahaja? Sedangkan datuk nenek, mak ayah kita dulu kahwin lebih-lebih lagi ikut adat daripada kita. Tak banyak pulak dorang complain. Semuanya berjalan lancar sahaja. Apalah sangat adat yang kita ikut dalam majlis perkahwinan orang sekarang nie.

Contohnya mas kahwin dan hantaran. Menurut cerita daripada mak aku, memanglah yang wajib dalam perkahwinan nie, hanyalah mas kahwin bukanlah hantaran. Mana datangnya hantaran ini? Asal-asalnya dulu duit hantaran adalah duit sedekah daripada pihak pengantin lelaki kepada keluarga pengantin perempuan sekadar nak membantu apa yang patut untuk majlis sebelah pihak perempuan nanti. Maklumlah, dulunya orang perempuan tidak bekerjaya. Tidak pula bergaji. Mana nak ada duit nak buat kenduri, apa lagi kalau mak dan ayahnya ada ramai lagi anak untuk disara.

Jadi, nama pun sedekah. Pihak lelaki yang tetapkan berapa duit hantaran yang nak diberikan kepada perempuan. Pihak keluarga perempuan hanya menerima sahaja sedekah tersebut. Tiada perbincangan pun tentang berapa kadar duit hantaran semasa majlis meminang. Pihak lelaki, senyap-senyap bagi duit hantaran kepada bakal mertuanya, bila-bila yang dia suka.

Mas kahwin pulak pun tidak ditetapkan oleh mak dan ayah bakal pengantin perempuan. Sebaliknya ditetapkan oleh ketua kampung, imam atau orang-orang yang terhormat dalam kawasan kampung tersebut. Kata mak "malu sangat aih, nak bubuh harga kat anak kita, biar orang/masyarakat yang letak nilai pada anak kita". Jadi si ayah kepada perempuan pergilah berjumpa dengan ketua kampung atau imam atau ustaz mana-mana bertanyakan berapa mas kahwin yang patut diletakkan kepada anak perempuannya.

Konon-kononnya ketua kampung, atau orang-orang kehormat ini menilai akhlak dan tingkah laku gadis-gadis dalam kampung terebut. Kalau baik, sopan santun, mahal lah sikit maharnya. Kalau "cargas" sangat, kuranglah sikit maharnya.

Tuelah asal cerita duit hantaran dan mas kahwin/mahar. Cuba nilai dengan cara kita sekarang. Tak ke jauh menyimpang sesat kita daripada adat melayu. Adat yang kita semua anggap adat tue sebenarnya bukanlah adat. Tetapi sesuatu yang dibuat-buat demi kepentingan nafsu.

Sekarang bukan main payah lagi, nak kahwin. Semuanya nak kena duit. Tidak cukup lagi dengan mas kahwin dan mahar yang mahal dengan sebab nombor, angka, tarikh tertentu. Merepeklah semua itu. Semuanya nafsu semata-mata. Materialistik. Contohnya ditetapkan duit hantaran RM 15600 sempena dengan tarikh pertemuan adalan 15/6. Kenapa mesti RM 15600, bukan RM 1560 atau RM 156 sahaja?

Haaa fikir-fikirkanlah, aku pesan jangan buat susah-susah nak kahwin. Benda tue sebenarnya senang sahaja. Jangan sampai hilang berkat.

Adat-adat yang lain tue, fikirlah sendiri. Carilah maklumat sendiri. Nak cerita semua, tak larat aku nak tulis.

Alhamdulillah majlis yang sedang dipersiap keluarga aku, nampaknya semua senang-senang dan mudah-mudah sahaja. Sikit-sikit kelam kabut tue biasalah, bila orang yang bukan ahli pun nak join the club. Namun aku doakan semoga kedua-dua belah keluarga mendapat rahmat daripada majlis nanti. Amiiinnn.

Monday, February 10, 2014

Manfa'at

assalamualaikum

Blog aku nie tak takdalah femes sangat, tapi boleh la ada orang yang duk baca jugak tue kira ok la kan. Namun kadang aku jeles la jugak dengan blog yang perghh beribu followers. Namun aku tau ada cara senang nk dapat ramai followers untuk blogger se amatur aku nie. Namun aku tak prefer cara tersebut.

Aku prefer blog seperti seorang bekas lecturer aku. Blog simple. Tulisan bersahaja. Orangnya biasa-biasa. Tapi mesejnya berat. Blog untuk orang berfikir dan orang malas berfikir.

Nak aku jadi macam tue. Sekadar tulisan, apalah sangat. Namun tulisan yang beri manfa'at. Ramai orang tulis tentang agama. Aku support orang-orang macam nie, Bagus. Tulis tentang agama perlu tepat, tidak boleh ada keraguan melainkan perkara yang furuq.

Walaupun ada sesetengah penulisan blog tentang agama boleh memeningkan kepala orang baca. Aku rasa tak mengapalah. Sebab blog kan ada banyak alternatif. Jika jenis penulisan itu bukan tahap kita. Bacalah blog lain. Macam Tv. Kalau tak minat bola sepak, tak perlu tengok channel bola sepak. Moga-moga ada manfa'at untuk orang yang membaca. InsyaAllah.

Aku pula? Aku prefer menulis pemerhatian. Aku suka perhati. Bukan perhati apa. Perhati kelakarnya manusia atas muka bumi ini. Macam-macam perangai. Macam-macam jenis. Kadang-kadang ada benda yang kita rasa malu nak buat. Tapi manusia lain tak malu nak buat benda tue. Dia pulak malu nak buat benda yang kita buat. Hahahaha.

Apa benda aku tulis malu-malu nie. Maksud aku. Ada sesuatu yang menjadi kebiasaan orang lain tapi kepelikkan untuk kita. Dan kepelikkan yang diulang-ulang tiba-tiba menjadi kebiasaan bagi semua orang. Macam fesyen. At first, dia pelik, namun selepas itu, tiba-tiba ia diterima dah jadi budaya pulak. Macam guru rotan murid. Dulu bila guru rotan murid, ia jadi kebiasaan. Namun mungkin suatu kepelikkan di masa kini.

Ke laut dah nie rasanya. Apa pun, aku just nak bagitau. Kita mampu tulis. Kita mampu cakap. Kita mampu beri contoh. Namun apakah ia bermanfa'at kepada orang? Persoalan yang lebih tinggi bukan berapa ramai follow blog kita. Berapa ramai like status, berapa ramai comment status FB kita.Tapi berapa ramai dapat manfa'at daripadanya.

Sekian.

Friday, February 7, 2014

Gelagats

Gelagat Pembuka
Assalamualaikum

Gelagat 1: Selfie Dalam LRT
Aku dalam LRT Kuning menuju satu tempat. Tempat duduk silver berkilat. Licin, sandar tak sedap, duduk tak lekat. Gelongsor-gelongsor punggung kedepan. Seberang kerusi sana, Nana pakai songkok hitam, kasut hitam kilat-kilat. Pemilik restoran nasi kandar mungkin, ada pekerja sewaktu dengannya. Cakap urdu nak turun stesen seterusnya.

Kanan sikit, depan, ada seorang gadis cina. Seluar pendek warna hijau. Peluk teddy bear berbulu lebat. Siap ada riben ikat di telinga. Di kerusi-kerusi lain pula ada mat bangla. Fesyen baju kotak-kotak, seluar hijau, tali pinggang merah. Senyap, apa pun tak kata.

Nak kata apa, mata duk tengok awek cina. Mulut ternganga tak keluar suara. Ada yang tutup tak buka-buka. Senyum panjang mata tak kelip. Apa yang ditengok. Rupanya si gadis cina angkat tinggi telefon pintar buat selfie peluk teddy bear.

Kechakkk!!!..uploooadd

Gelagat 2: Jiwang Tak Kenal Orang
Dalam Lrt Merah pun ada cerita. Cerita sebelum naik LRT Kuning sebenarnya. Aku mengantuk juga, semalam tidur tak lena. Alhamdulillah dapat duduk. Sandarkan kepala, pejam mata. Nak mimpi apa ya? Mimpi indah laa. Sapa nak mimpi buruk.

Tiba-tiba ada suara. Suara lelaki? Eeeeeee apa yang indahnya suara lelaki? Kalau indah, dah cerita songsang dah. Mata aku buka. Kabur-kabur. Eh eh, merpati dua sejoli. Seluar jeans skinny, kasut sukan basket ball. Merah kuning lagi. Teruna janggut seciput. Dara tudung bawal lilit fesyen tipikalisme.

Rupanya teruna yang duk menyanyi. Bukan aku yang mimpi. Fuhh! Nasib baik. Ada orang tengah jiwang-jiwangan dalam train rupanya. Antara lagu-lagu dinyanyikan; "Ku juga mencintai dirimu, mengapa sukar ku luahkan.." Lagi? "Terasa keabadian cinta kau beri.." Lagi lagi? "Oh kasih, oh kasih, ku berterima kasih, padamu kerana menyempurnai hidup ku.."

Seram sejuk aku. Tak jadi tidur dalam LRT.

Gelagat 3: Tak Cukup Kain
Aku dah cakap. Kau tak tutup aurat.

Apa yang tak tutup? Aku pakai tudung apa?

Nieh, seluar ketat. Baju singkat. Nampak pusat.

Owh ini pun kira aurat ka?

Gelagat 4: Harap Janggut Panjang Harap Kopiah Putih
Solat jumaat. Ramai orang. Nak tau bilangan yang melihat? Ambil bilangan orang, darabkan dengan dua. Jumlahnya adalah jumlah mata yang melihat. Jubah putih ada. Baju melayu putih ada juga. Janggut putih pun ada. Rambut putih pun ramai. Yang takdak rambut pun sama.

Sebelah aku nie ustaz kot. Janggut putih, panjang. Kopiah putih, lubang-lubang. T-shirt saja hitam. Tulis apa tak tau. Lantoklerr, dengar khutbah lagi best. Bahasa inggeris lagi khutbah hari ini. Cerita, kemana pergi duit zakat. Dah ramai sangat sedap mulut cakap duit zakat disalah guna.

Ustaz sebelah, bangun solat. Huishhhhh. T-shirt dia! T-shirt dia!..T-shirt dia gambar real Tok Guru Nik Aziz. Dengan tajuk "The Legend". Tapi baju gambar orang. Gambar hidup kata setengah orang. Boleh pakai solat ka?

Gelagat 5: Bro! Angkat Takbir Dulu Boleh?
Allahuakhbar (Takbiratul Ihram). Imam dah beri salam. Aku naik sambung rakaat yang terlewat. Rakaat ketiga. Bangun untuk rakaat keempat, ada orang sentuh bahu. Naik pangkatlah aku. Jadi Imam pulak. Tadi makmum masbuk ja pun.

Aku kuatkan suara takbir untuk rukuk. Iktidal. Sujud. Duduk antara dua sujud. Sujud semula. Bangun untuk tahiyyat akhir. Beri salam. Assalamulaikum warahmatullah. Allahumma inni as aluka redhaka wal jannah. Assalamualaikum warahmatullah. Wa na'uzubika min saqotika wan nar.

Toleh ke belakang nak tengok sapa makmum. Astafirullah!!! Takda orang???

Gelagat 6: Bila Dunia Takda Peraturan
Naik motorsikal. Ke tempat mencari rezeki. Awal pagi. Sesak macam biasa. Biasalah Kuala Lumpur. Kalau tak sesak. Tue tandanya orang sedang bercuti, kau yang pergi kerja. Naik AKLEH dah biasa. Jauh pulak tue. Rugi minyak mahal. Rugi masa emas. Ikut Jalan Ampang. Hati aku kata.

Kiri kanan aku cilok. Dah macam mat rempit. Cuma fesyen seluar slack, baju kemeja lengan panjang sinting separuh lengan, beg swan digalas belakang, kasut hitam tajam kedepan. Kiri kanan aku cilok. Redah kereta yang pelan-pelan siput. Sampai simpang empat Jalan Ampang, Jalan Tun Razak.

Woi!!! Apa nie???

Kereta selerak di tengah simpang empat. Tak jalan. Langsung. Sangkut. Motorsikal still cilok kiri kanan. Lampu trafik rosak rupanya. Manusia hilang arah. Bila takda peraturan. Akhirnya semua tak dapat jalan. Dalam kereta, semua senyum puas hati agaknya. Aku tak boleh jalan, hampa pun aku tak bagi jalan! Hahahahahaha (Gelak jahat)

Gelagat 7: Terdesak Sangat Dah
Dulu isu kalimah Allah. Kes tak selesai lagi. Orang yang duk berhimpun dah penat agaknya. Dah tak dengar cerita dah. Kali nie isu Tampar Teresa. Kalau aku tak silap dengar. Hmmm esok lusa habeslah cerita.

Lepas ini, ada filem apa pulak? yang perlu pelakon tambahan buat perhimpunan. Ludah. Sembelih ayam. Simbah cat. Semua kami boleh buat. Watak apa pun takpa. Janji ada orang tangkap gambar muka kami. Masuk dalam tv3. Popular satu negara.

Pakai nama persatuan Islam. Nampak alim sikit. Kami terdesak sangat dah nie.

Gelagat Penutup
Sekian. Wassalam.

Wednesday, February 5, 2014

Tips Bersembang Dengan Bapa Mertua

Assalamualaikum.

Dah ramai kawan-kawan yang sedang bersiap menanti hari-hari bahagia. Dalam kebahagiaan yang seringkali senyum sorang-sorang depan PC. Aku belum lagi. Lambat lagi nak senyum sorang-sorang macam tue. Dalam senyum-senyum tue, ada juga yang berkerut dahi memikir macam mana atau bahasa orang-orang sekarang guane nak bersembang dengan bakal bapa mertua.

Parah juga masalah nak cari idea untuk bersembang nie. Lebih berat daripada masalah nak cari rumah sewa selepas bernikah. Rumah sewa takda hal kot, boleh cari online. Tapi nak menambat hati bapa mertua nie takda online tak boleh pulak nak google.

Demi seorang kawan yang memikirkan masalah sedemikian rupa. Aku dengan rela hati dah secara amaturnya menulis tip-tip idea buat modal bersembang dengan bakal bapa mertua nanti. Namun, apa yang aku tulis ini hanya sekadar teori sahaja. Boleh cuba, biarpun akan ada sebahagiannya yang tidak praktikal untuk kes-kes terpencil.

1. Cubaan bertanya tentang kerjayanya
Inilah adalah basic perbualan. Memang manusia biasanya suka bercerita tentang apa yang dia dah tahu. Sebab kalau dia tak tahu. Dah dia kena pikir pulak. Susah! kita manusia tak suka susah-susah nie. Bagi yang senang-senang saja. So tanyakan apa-apa tentang kerja si bapa mertua.

Kalau takda idea jugak. Buatlah research dulu awal-awal. Adakah kes-kes atau isu semasa yang berkaitan dengan kerjayanya. Kalau tidak pun carilah apa-apa yang kritikal tentang kerjanya. Macam cabaran yang dilalui dalam bentuk pengalaman dsb.

2. Cubaan bertanya tentang keluarganya
Ada setengah orang, boleh berbual dan bercerita panjang tentang ahli keluarganya. Jika anda sebagai menantu baru mungkin si bapa mertua akan lebih selesa untuk menceritakan salah silah keluarganya. Tentang bapa atau ibu saudara. Kerjaya atau dimana mereka menetap. Namun jika hanya sebagai tunang atau teman lelaki, mungkin tidak sesuai nak tanya time macam nie. Sabor ye!

Jika tidak tentang keluarga besar. Boleh juga tanya tentang anak-anaknya yang lain. Si abang, kakak atau adik kerja dan menetap di mana. Bila selalu keluarga berkumpul. Balik raya di kampung mana. Namun jangan pergi jauh sangat. Mungkin si bakal bapa mertua tidak selesa jika anda belum sah sebagai menantunya.

3. Cubaan topik-topik terbuka
Selalunya menantu akan cuba bersembang tentang topik-topik semasa di televisyen. Ini untuk menunjukkan bertapa up to date nya si menantu tadi dalam meneliti dan memberi pendapat. Namun awas jika bicara topik yang panas-panas.

Elakkan bercakap tentang politik. Elakkan juga tunjukkan kecenderungan politik anda. Lebih selamat memberi pendapat secara 50-50 dan kesimpulan yang ringan dihujung perbicaraan. Bahaya. Dan mungkin si bapa mertua anda akan tunjukkan sedikit kecenderungan beliau dalam politik. Berhati-hati. Orang lama nie bijak. Kadang-kadang nak test menantu dia saja. Relax! jangan naik semangat tetiba. Buat malu saja.

4. Cubaan cari perbezaan yang kecil dalam persamaan pandangan
Untuk topik-topik terbuka lebih baik sembang tentang perkara yang dipersetujui daripada benda yang banyak khilaf. Bahaya. Jangan duk tunjuk pandai. Nanti terjerat diri sendiri. Mesti menunjukkan flexibility diri anda. Cuba lebih mendengar daripada memberi pendapat.

Kalau ada pendapat yang berbeza jangan disimpan, keluarkan secara berhikmah. Agar si bapa mertua nampak keterampilan si menantunya ini. Selalu gunakan "saya fikir" atau "saya rasa". Elakkan letak sebarang penegasan.

5. Jangan over confident
Kadang-kadang ada menantu yang ter over confident sebab jawatan atau pangkat atau perbezaan kerjayanya. Sebab tidak ada apa yang dapat menantu banggakan kepada si bapa mertua melainkan kerjayanya. So jangan cerita tentang kerjaya anda jika tidak ditanya. Biarpun bertapa istimewanya kerjaya anda.

Bapa mertua anda sudah lama kerja. Cukuplah sekadar sedikit info, atau pembetulan yang orang lain selalu salah tanggapan. So nanti boleh la dia cerita dekat kawan-kawanya dengan dialog "Menantu saya yang kerja di...bla..bla..bla..dia cakap..bla..bla..bla.."

6. Banyakkan membaca
Dengan membaca, anda akan meluaskan pandangan dan banyak idea dapat dicuri untuk dituturkan. Si menantu dah tahu bahawa si bapa mertua dah lama makan garam dulu. Dah banyak pengalaman dalam hidup. Takut-takut kata si menantu tidak matang.

So daripada buku-buku yang sesuai. Kita boleh belajar menghargai pandangan orang lain. Dan melihat sesuatu daripada sudut berbeza.

7. Mencapai persetujuan di akhir perbualan
Kiranya anda tidak berpuas hati dengan pandangan si bapa mertua. Carikan topik yang akhirnya anda dan dia boleh sependapat dan bersetuju dengan masing-masing. Kata mat saleh "Save the best for the last".

Esok-esoknya suruh isteri anda tanya ibu mertua apa pandangan si bapa mertua terhadap anda. Sebab bapa mertua mesti cerita tentang anda dekat isterinya (ibu mertua anda). Dan si ibu mertua akan ceritakan kepada anak perempuannya. Jika tidak dicerita, suruh isteri anda tanya-tanyakan. Heh Heh Heh.

Sampai sini saja kot. Nanti kalau ada, aku sambung lagi. Kepada kawan-kawan yang nak menambat hati mertua. Selamat berjaya.

Sekian.

Friday, January 24, 2014

Keliru

Assalamualaikum

Banyak sangat kekeliruan berlaku di kalangan masyarakat Malaysia kini. Bahkan kekeliruan demi kekeliruan berlaku. Keliru dalam pemahaman hidup, keliru akidah, keliru, keliru dan keliru. Dari mana datangnya kekeliruan ini?

Puncanya orang Malaysia terutamanya bangsa aku sendiri, orang Melayu. Malas, hidup papa asalkan bergaya, sapa makan garam dulu, taksub. Tengok sajalah berapa ramai peminta sedekah yang datang jual tisu sebungkus RM1 masa kita tengah lunch, berapa ramai budak sekolah tahfiz datang mohon derma untuk sekolah mereka, tidak kurang juga pak lebai putih yang duduk tersenyum menunggu di belakang kotak atau bakul sumbangan, juga untuk sekolah tahfiz. Sampai bila orang Malaysia nak biarkan perkara ini terjadi.

Umat Islam terutamannya tidak boleh lagi di takuk lama. Hanya nak mendirikan masjid tapi tidak mengimarahkannya. Teringat lagi masa di zaman sekolah, ramai orang kaya beli tanah buat masjid. Buat masjid memanglah mudah. Sekali keluar duit selambak. Lepas tue, sapa nak bayar bil air, bil elektrik dan yang penting sekali sapa yang nak solat disitu. Dah kalau orang yang buat masjid tue hanya pandai buat masjid sedangkan dia sendiri di Kuala Lumpur sibuk dengan hal dunia sampai tak sempat singgah masjid.

Media antara golongan yang paling keliru bahkan mengelirukan orang. Berapa banyak berita, maklumat dan info salah disiarkan. Info dan maklumat yang sekadar dengar-dengar sahaja pun dijadikan topik panas sehingga membangkitkan kemarahan dan pertelingkahan dikalangan masyarakat. Tidak cukup dengan ustaz dan tuan guru, kini kenyataan mufti pula dijadikan bahan modal jual cerita. Habis keliru orang ramai.

Orang-orang muda negara ini semua keliru. Keliru dengan duit gaji yang sikit nak beli apa. Ada yang beli meggi untuk makan malam, tetapi beli Honda, Toyota, "tak mau kalah" kata mereka. Ada pulak gaji sedikit buat pakai gemerlap-gemerlap, telefon boleh buat call dalam air walaupun sekadar call, message, WhatsApp, FB, Twitter. Keliru lagi. keliru nak beli apa dengan duit yang sedikit.

Orang tua pulak keliru dengan pegangan, dan ego, keliru dengan cakap sapa yang betul sebenarnya? Cakap ustaz, ahli politik atau ustaz yang join parti politik? Bila ada pertelingkahan dalam perkara furuq, yang ustaznya berlapang dada. Yang ahli politiknya minum kopi semeja. Orang-orang tua nie pulak berdemo, huru hara, berterlingkah, kenduri tak sampai, jauh sekali lah nak tegur sapa.

Kanak-kanak dan remaja pun terkeliru dengan apa yang mereka tengok. Si ayah rasanya tegas bab kalimah Allah, tapi surau setahun sekali sampai agaknya, rumah berkabus asap rokok Winston. Abang dan kakak pulak tak lepas-lepas telefon dari tangan. Makan, tidur, mandi pun agaknya dengan telefon tue. Bab jemaah kat surau boleh lah join ayah. Si emak pun sibuk kerja siang malam macam ayah juga. Hujung minggu dengan kawan-kawan pulak, shopping release stress katanya. Masa dengan keluarga sekadar selisih bahu dalam rumah. Kalau nak minta perhatian mereka, kena marah pula. Diberinya duit untuk beli Tablet sebagai ganti.

Keliru.

Sekian.

Wednesday, January 15, 2014

Pencerahan: Larangan Penggunaan 40 Kalimah Suci Islam, Kepada Orang Bukan Islam

Assalamualaikum.

Beberapa hari lalu, akidah orang Islam sekali lagi tergoncang, dipermainkan oleh penulis surat khabar yang tidak bertanggungjawab lagi jahil dalam penulisan. Sampaikan aku sendiri termakan dengan penulisan tersebut dan men "like" status rakan bukan Islam yang menyangkal keputusan Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang di FB beliau. Astaqfirullah. Aku mohon maaf.

Sebelum kita ke pencerahan ingin aku jelaskan disini. Daripada kuliah-kuliah yang aku ikuti, dan daripada ustaz-ustaz yang aku kenal. Mereka selalu menyebut di dalam Malaysia hanya ada beberapa orang sahaja tuan guru yang yang benar-benar 'alim. Salah seorang daripada mereka adalah Tuan Mufti Negeri Pulau Pinang. Patutlah dimana sahaja aku jumpa ustaz-ustaz dan penceramah yang hebat-hebat mesti pernah berguru dengan beliau. Dan saja aku nak bagitau, tidak ada seorang pun ahli politik tersenarai dari mana-mana belah pihak. Jadi, jangan fanatik tak tentu pasal.

Aku mengaku, aku telah buat silap kerana terdorong untuk tidak berfikir panjang dan bersama-sama puak yang salah, aku mencela keputusan Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang penggunaan 40 kalimah khusus agama Islam dan tidak boleh digunakan oleh mana-mana agama lain.

Aku mohon maaf. Aku terlupa akan firman Allah dalam surah al-Hujuraat, ayat 6:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan, yang akhirnya kamu menyesali perbuatan mu itu."

Benarlah firmah Allah yang Maha Mengetahui.

Alhamdulillah, selepas beberapa ketika daripada kejadian tersebut. Aku diberi ilham oleh Allah S.W.T, berfikir. Apa yang aku buat. Bagaimana orang seperti aku, boleh menyanggah keputusan Majlis Fatwa. Kemudian aku mula mencri jawapan. Dan aku temui.

Apa yang digembar-gemburkan oleh surat khabar ternyata salah. Berdosa besar menulis perkara sebegini dengan tidak adil. Ini menimbulkan kekeliruan akidah di dalam diri seorang muslim. Malah menjatuhkan martabat Majlis Fatwa dan secara langsung Yang Pertuan Agong kerana beliau sendiri yang memperkenankan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Pulau Pinang.

Sebenarnya ini adalah sekali lagi permainan tidak bertanggungjawab politik di Malaysia. Politik sampai mempermainkan akidah orang Islam. Berdosa besar dia yang menulis. Saya teliti fatwa berkenaan di laman web majlis fatwa. Fatwa tersebut dikeluarkan pada 7 Januari 2010. Cerita 4 tahun lepas, selepas cubaan berkali menjatuhkan negeri pulau pinang kerana diperintah oleh parti pembangkang. Setelah dulu, isu azan, kemudian isu tulisan mandarin di signboard, kemudian isu parking berbayar, seterusnya isu kereta MB dan kini, isu lama yang diulang tayang dan diputar belit.

Sedikit point-point penting daripada fatwa yang dikeluarkan (disembunyikan oleh pihak tak bertanggungjawab):
1.  Kalimah-kalimah tersebut tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam
2. Orang Islam wajib menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur PENGHINAAN dan PENYALAHGUNAAN terhadap kalimah-kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub.
3. Semuanya ada 40 kalimah semuanya (semak di laman web majlis fatwa)

Dan point last, yang paling penting:

4. Mana-mana orang bukan Islam yang menulis atau menerbitkan apa-apa bentuk, versi atau variasinya atau apa-apa terjemahanny dalam apa-apa bahasa atau apa-apa bahan publisiti atau apa-apa bahan sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media atau apa-apa kaedah lain yang boleh membawa kepada MENGHINA KESUCIAN AGAMA ISLAM adalah salah dan dilarang serta menjadi satu kesalahan.

Kalau betul, betul difahami daripada fatwa yang dikeluarkan, orang bukan Islam bukanlah tidak boleh menggunakan kalimah tersebut. Mereka dilarang menggunakan dengan maksud yang salah atau menyelewang perkataan tersebut daripada maksud yang asal.

Contohnya. : Ahmad mengajak Ah Yong ke rumahnya untuk meraikan majlis hari jadinya, dan Ah Yong menjawab "InsyaAllah, kalau sempat saya datang."

Penggunaan kalimah Allah diatas adalah betul. Tidak salah dan tidak menyeleweng. Jadi ia tidak menjadi kesalahan.

Ini bukan sahaja praktikal untuk orang Melayu Islam. Sama juga orang India dan orang Cina. Cuba lihat dulu kita dikejutkan oleh isu perkataan "keling". Orang India tidak suka dipanggil keling. Maka, menggunakan perkataan keling dengan sesuka hati boleh menimbulkan perselisihan kaum. Salah disisi undang-undang negara.

Sama saja kan dengan isu 40 kalimah khusus agama Islam.

Fikir-fikirkan.

Sekian.

Tuesday, January 14, 2014

Dia Pakai Cap, Dan Dia Lebih Islamik Daripada Aku

Assalamualaikum

Tajuk post sebelum ini agak panas. Marah orang perempuan dekat aku. Jadi, tajuk post yang ini aku pilih yang lucu sikit (lucu ke?kalau tak, maaflah - orang biasa cakap aku nie takda sense of humor). Redakan yang panas-panas dulu. Kalau selalu sangat tulis benda-benda panas, nanti kena gam pulak. Sudahlah aku kena gam tulis pasal politik. Sampai sekarang makan hati. Biarlah. Barang yang lepas jangan dikenang.

Pepatah mat saleh ada menyebut "Dont Judge The Book By Its Cover" banyak jugak pepatah melayu yang membawa maksud yang serupa. Namun tiada diantaranya yang lebih istimewa daripada yang lain kerana semua pepatah ini ada tempat untuk kegunaannya. Bukan boleh main bedal je.

Dulu cikgu aku pernah cakap, pepatah melayu ke mat saleh ke cina ke india ke rom ke parsi ke semuanya hanyalah hawa telinga. Pepatah-pepatah tue hanya sesuai dengan keadaan yang tertentu sahaja. Manusia nie, penuh dengan alasan dan putar belit. Dulu masa aku darjah 4, umur 10 tahun, timbul isu "Walaupun I tak pakai tudung, tapi I beriman.". Kalau budak zaman itu masih ingatlah.

Isu keserasian dan keharmonian iman di dalam hati dan cara kita menampilkan iman itu. Biasanya orang cakap luaran tak sama dengan dalaman. Betul, setuju. Tapi dari segi pakaian dan iman. InsyaAllah biasanya kedua-dua akan seiring dan sejalan. Pemahaman begini adalah level permulaan bila kita nak mendidik iman kita.

Level iman dan ilmu agama kita tidak sama. Jadi tidak boleh kita menilai seseorang dengan cara yang sama. Macam aku cakap awal tadi, kronologi kita mendidik iman pada peringkat permulaan adalah dari jenis paksaan. Cuba menutup aurat dengan penuh, contohnya. Berpuasa. Solat sunat dan lain-lain lagi.

Maaf, sebelum kita lebih jauh. Aku nak tekankan, ini adalah pandangan peribadi aku sahaja. Bukanlah sesuatu untuk pegangan korang yang membaca. Aku menulis bukan nak suruh korang ikut aku tapi aku nak ajak korang berfikir sama-sama dengan aku.

Kita kembali ke level iman permulaan tadi.

Dulu masa kita masih dalam fasa pembelajaran dan pembentukan iman. Maksud aku masa kita kecik. Kita dididik cara berpakaian, cara bercakap, cara melakukan sesuatu untuk membentuk iman di dalam diri kita. Sebab itu kita selalu diberitahu bahawa, iman dalam diri mesti kena jive dengan pakaian luaran.

Tapi bila kita dah besar kita makin celaru dengan konsep tersebut. Kenapa? sebab secara peribadi aku jumpa orang yang berpakaian biasa-biasa (mestilah menutup aurat), maksud aku berseluar jeans, t-shirt roundneck, baju kemeja lebih islamik daripada yang berjubah, serban dan berjanggut. Inilah masa yang sesuai untuk pepatah "Dont Judge The Book By Its Cover". 

Islamik in what sense? Percakapan dia, perlakuan dia, adab dengan rakan, pergaulan dan tatasusila dia menampakkan dia islamik, malahan lebih islamik daripada yang berserban dan berpurdah. Aku tidak menilai mana yang lebih baik. Bukan itu tujuan aku. Aku terbuka setiap orang ada kelebihan dan kekurangan.

Aku melihat orang dengan imej Islam ini kadang-kadang terlupa yang dia membawa beban agama secara langsung. Lalu dia melakukakan sesuatu yang membuat orang jauh dari agama. Aku lihat peringkat ini adalah level iman yang kedua. Dimana iman bukan untuk kita seorang tetapi iman untuk memperingati atau menjadi contoh kepada orang lain.

Ada seorang kawan aku, berjanggut, selalu berserban dan berjubah. Sembang pasal jihad fisabilillahi. Mohon kawan-kawan yang bekerja menyumbang kepada perjuangan mereka. Namun aku tegur dia merokok 3 batang sepanjang kami berbual. Dia balas selamba "Benda dah tak boleh tinggal bro". Manakah jihad yang lebih aula.

Aku bicara pasal isu semasa dengan kawan yang pakai cap, roundneck dan jeans. Dia menukar perbualan kami kepada tajuk syukur yang bukan hanya ucapan alhamdulillah, tapi syukur dengan lebih harmoni. Syukur yang lebih besar yang tak pernah orang-orang macam aku terfikir. Subhanallah.

Perkara sebegini yang selalu berlaku membuat aku lebih suka bergaul dengan mereka. Aku tahu, dia pakai cap, dia pakai jeans, dia drive Honda City, dia ride motor besar, dia pergi kuliah lepas maghrib, dia menerima perbezaan masyarkat di sekelilingnya dan dia mengahwini dengan wanita sepertinya. Mudah dan senang aku lihat mereka. Dan aku dapat rasa dia lebih Islamik daripada aku.

Sekian.