Thursday, February 2, 2017

Biarlah Tuhan Mengurus Hidup Kita

Assalamualaikum w.b.t

"Ya Allah, hanya rahmat-Mu yang aku harapkan, maka janganlah Engkau menyerahkan aku kepada diriku sendiri meski hanya sekejap mata dan perbaikilah seluruh urusanku. Tiada Ilah Yang berhak disembah selain Engkau." (HR. Abu Dawud no. 5090, Ahmad no. 27898 Ibnu Hibban. Dihassankan oleh Syaikh Syuaib Al-Arnauth dan Al-Albani dalam Shahih al-Jami' no. 3388)
  1. Aku seringkali merasa, alangkah baik jika aku memilih itu daripada ini. Alangkah bagusnya jika aku memilih yang lain dari yang ini. Mungkin aku sedikit cemburu dengan kawan-kawan yang aku rasakan membuat pilihan yang lebih baik daripada aku walaupun kami semua diberi pilhan yang sama. Ini tentang kerja aku.
  2. Kawan-kawan aku sebulan kerja, sebulan cuti. Kawan-kawan aku rezekinya murah daripada aku. Kawan-kawan aku berpindah sedang aku masih disini. Segalanya mereka lebih tetapi aku masih sama, masih disini. Itulah yang bermain dalam fikiran aku seminggu dua ini.
  3. Aku pun berangan-angan kalaulah aku memilih ruler yang sama dengan kawan-kawan aku, pasti aku berasa lebih baik daripada sekarang. Gaji pun lebih baik. Cuti pun lebih banyak, boleh buat kerja lain semasa cuti. Tak perlulah aku menetap di KL yang semuanya mahal dan tak berkualiti. Tak perlu nak hadap jalan yang sesak dan masyarakat yang penuh dengan masalah.
  4. Namun Allah memberi jawapan. Tiba-tiba aku tersentak dan berfikir. Astaqfirullah, kenapalah aku melupakan nikmat terbesar Tuhan. Nikmat yang tiada tolok bandingnya. Nikmat yang mengubah pandangan aku terhadap dunia dan akhirat, prinsip dan pegangan serta cara berfikir.
  5. Disini tanpa siapa-siapa yang membuka jalan, aku mengenal manhaj sunnah. Aku nampak jalan mencintai Allah dan Rasul. Aku jumpa kawan-kawan dalam manhaj sunnah. Aku dengan dengan banyak tempat pengajian sunnah. 
  6. Di Kuala Lumpur aku temui tokoh-tokoh sunnah. Aku mengenal Perlis dikala aku berjarak lebih kurang 400km darinya. Sedangkan semasa aku di Kedah yang hanya sekadar beberapa puluh km, Jangankan muftinya, negeri Perlis itu sendiri tak aku jejak kaki.
  7. Kalau aku masih di Kedah sudah tentu aku masih di takuk lama, pergi menyanyi sambil melambai-lambai. Ikut-ikutan orang awam yang terus ditipu lebai. Taksub.
  8. Alhamdulillah, Menetap di Kuala Lumpur bukanlah teruk sangat. Mungkin ada bahagian tertentu yang aku ketinggalan daripada kawan-kawan aku. Mungkin mereka lebih kaya daripada aku. Tapi adakah aku rela ketinggalan dalam bab Iman dan Taqwa?
  9. Sekali lagi aku berdoa: "Ya Allah, hanya rahmat-Mu yang aku harapkan, maka janganlah Engkau menyerahkan aku kepada diriku sendiri meski hanya sekejap mata dan perbaikilah seluruh urusanku. Tiada Ilah Yang berhak disembah selain Engkau."
  10. Begitulah Tuhan mengatur hidup kita. Barangkali sesuatu perkara itu kita suka tetapi buruk untuk kita, barangkali sesuatu perkara itu kita tidak suka tetapi ia baik untuk kita. Allah sahaja yang Maha Mengetahui.
Sekian.