Monday, February 14, 2022

Nikmat Berak di Kampung

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Sudah seminggu lebih aku di kampung halaman. Lama juga aku tak balik. Bila aku tengok semula gambar-gambar lama. Terutama dalam dashcam, sebab aku mesti akan ambil gambar bila masuk ke sempadan Kedah. Kali terakhir aku balik adalah ada bulan Disembar 2020. 
  2. Minggu pertama bermalam di rumah Mak Abah aku. Alhamdulillah perjalanan kali pertama bawa Irwaa Zafirah balik kampung, memandu diwaktu siang yang sering aku elak sebelum ini. Takut mengantuk. 
  3. Awal pagi sebelum keluar ke market beli ikan dan nasi lemak untuk sarapan, Ke jamban dulu membuang hajat yang besar. Tandas atau jamban di kampungku banyaknya masih lagi mengekalkan jenis jamban tinggung atau jamban cangkung. Di Kuala Lumpur susah nak jumpa jamban tinggung. Rumah aku sendiri tak ada jamban tinggung, keduanya jamban duduk. 
  4. Rumah Mak Abah aku? ada pilihan untuk ke jamban tinggung atau jamban duduk. Boleh buat pilihan mengikut keinginan dan kesesuaian masing-masing. Ada-lah beberapa perkara yang masih perlu dibaiki seperti flush rosak, kolah bocor dan tiada tempat yang baik untuk menyimpan barang-barang kegunaan dan mesin. Ini projek aku seterusnyalah kot. Apa pun, aku kena kemas dan susun semula dulu alat-alat dan mesin yang diletak begitu sahaja. Dah jalan bahagian ini, baru boleh mula bahagian seterusnya. 
  5. Satu nikmat yang aku rasa patut aku cerita adalah kelebihan membuang air besar (berak) di kampung berbanding di Kuala Lumpur. Mungkin sesetengah orang rasa tak berapa bersih atau malu untuk cerita pasal berak ni. Tapi bagi aku, ini adalah satu nikmat yang orang selalu lupa. 
  6. Aku pernah bermalam di hospital teman adik aku yang terkena sakit berkaitan usus besar. Melibatkan berak jugaklah. Jadi masa bermalam di wad kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyyah, aku ada bersembang dengan peneman atau waris-waris yang menjaga pesakit lain di wad yang sama. 
  7. Masa itu, kita dengar macam-macam cerita ujian yang lebih berat daripada ujian yang kita lalui. Sedih bertambah sedih bila pesakit ada kanak-kanak. Bila memikirkan masa depan mereka dan keluarga mereka. Boleh mengalir air mata melihat dan mendengar kisah mereka. Semoga Allah membalas mereka dengan kesenangan di akhirat kelak.
  8. Balik kepada cerita berak ini. Sebenarnya sains telah membuktikan yang berak dalam keadaan tinggung atau cangkung adalah lebih sihat berbanding berak dalam keadaan duduk. Saya tidak pasti siapa yang mencipta tandas duduk dan dinormalisasi atas nama moden.
  9. Dalam keadaan duduk usus kita akan ditekan dan laluan usus menjadi kecil, menyebabkan najis kita tidak dapat keluar dengan lancar (laluan usus sempit). Inilah punca berak dalam keadaan duduk secara jujurnya kita tak rasa puas. Rasa macam sangkut-sangkut berbanding berak dalam keadaan tinggung. 
  10. Jadi design tandas duduk, nampak cantik tetapi sebenarnya tidak efisyen, bahkan tidak baik untuk kesihatan kita. Patutlah orang-orang di kampung kelihatan lebih tenang, ceria, sihat dan bertenaga. Sebab sudah hilang satu stress dalam hidup mereka iaitu stress berak tak puas.  

Sekian.


Sunday, November 28, 2021

Anak

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Aku ada perasaan aku kurang meluangkan masa dengan anak-anak. Aku rasa tersedar perkara ini masa mula-mula aku kerja di rumah akibat PKP, pandemik COVID-19. Waktu berada dirumah aku macam sedar-sedar anak sulung aku dah 6 tahun dan anak kedua aku dah 3 tahun. Cepat sungguh masa berlalu. 
  2. Kerja dirumah pun ada masanya aku sibuk dengan mesyuarat demi mesyuarat yang sangat panjang. Ditambah lagi dengan komitmen sebagai JMC yang memerlukan aku punya masa duduk berbincang dengan komiti lain diluar waktu kerja, 
  3. Walaupun isteri aku dalam banyak kes sangat memahami kerana kalau semua orang tak mahu ambil kisah sapa pula yang nak ambil kisah. Akulah yang sukarela ambil kisah sebagai pembuka jalan untuk pemilik-pemilik lain pula selepas ini. Insyaallah ini tahun terakhir aku sebagai JMC. Semoga jiran-jiran menyambung perjuang mendapatkan hak kita di rumah yang kita beli dengan titik peluh kita sendiri. 
  4. Berbalik pada cerita anak ni tadi. Rasanya sekejap sahaja, dah ada anak ketiga. Simpan dulu cerita anak ketiga ni. Anak sulung dan yang kedua ni, aku dapat perati tumbesaran mereka secara dekat dalam masa 2 tahun PKP. Seorang daripada suka mewarna dah jadi suka melukis dan seorang lagi daripada asyik tengok saja abang mewarna dan melukis dah suka mewarna dan sekarang suka melukis pula. 
  5. Minggu ini bermain perasaan sebab nak tinggal si abang dan si abang nombor dua di rumah Pak Ngah mereka. Aku dah isteri akan bermalam, dua malam di hospital untuk menyambut kelahiran yang ketiga. 
  6. Biasalah isteri aku punya drama risaukan si nombor dua. Yang tu, manja. Berpeluk, menggosok muka dia dekat perut isteri aku. Tidur pun jarang sekalilah nak tidur tempat lain selain dengan isteri aku. Dah cuba ajak tidur bilik lain. Lepas kita dah tidur, dia bangun bawak bantal pergi cari ummi dia. 
  7. Selain itu, dia jenis tak bercakap kecuali dengan abang sulung dia. Ditanya apa-apa hanya angguk dan geleng. Kalau main dengan abang dia, pot! pet! pot! pet! mulut bercakap. Duk bercerita fantasi depa dua. Kalau kita tanya terus diam. Angguk tanda setuju, geleng tanda tidak setuju. Diam atau teruskan main macam tak dengar apa kita cakap kalau tiada keputusan. 
  8. Pak Ngah pun risau kat dia, sampai telefon Achik ajak mari tidur di rumah sekali untuk temankan mereka. Dengan Achik dan Uncle mereka rapat sikit. Yalah, Achik dan Uncle rajin melayan mereka dua. 
  9. Dalam dua hari ni duduk rumah Pak Ngah nampak baik saja. Cuma malam kedua tu, rasa macam nak drama jugak si Abang Sulung tu. Duk ajak Achik balik rumah dia. Rindu rumah dan mainan-mainan dia tu la kot. Buku baca dan buku warna yang bawak daripada rumah tu, tak tau la berkisah atau tak. Pak Ngah siap beli layang la bawak pergi main dekat taman. Lupa dah buku-buku dalam beg tu. 
  10. Hari ini insyaallah, dah boleh balik rumah. Semalam aku dah balik dah uruskan uri (placenta) perasaan keluar daripada hospital tu seronok semacam walhal bukan aku yang sakit. Doa-doa semoga semuanya berjalan lancar dan kami dibenarkan balik hari ini. 
Sekian.

Wednesday, September 8, 2021

Buat Pandai Dua Kali

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Beberapa minggu ini aku mengalami beberapa peristiwa yang sangat menyusahkan. Ya ini akibat perangai orang lain. Aku nak cerita dekat sini sebagai iktibar dan peringatan kepada aku dikemudian hari. Aku doakan kepada Allah supaya jangan menjadikan aku orang yang seperti ini. 
  2. Ini kisah seorang yang aku kenal. Dia suka meninggikan dirinya dihadapan orang lain. Dia sentiasa mahu dilihat hebat, pandai, lebih berpengalaman, lebih celik IT dan semuanya lebih daripada orang lain. Dia tak mahu menghadapi satu keadaan dimana dia tidak tahu tapi orang lain tahu tentang perkara tersebut. 
  3. Perangai ini, aku dah pernah jumpa dulu. Orang atasan di tempat kerja aku. Kau cakaplah dengan dia apa saja topik. Bila dia masuk, dialah yang paling pandai dalam hal tersebut. Dia sebut itu dan ini menggunakan perkataan-perkataan jargon (teknikal) yang aneh daripada telinga kita. Supaya orang disekelilingnya rasa WOW!
  4. Dua tiga minggu kebelakangan ini aku dah jumpa seorang lagi yang sama tapi dalam versi sedikit berbeza. Aku meneliti terdapat banyak persamaan diantara mereka keduanya. Antaranya mereka perlukan perhatian orang. Mereka tidak boleh hidup dalam keadaan orang tidak memuji mereka atau orang melupakan siapa mereka. Antaranya lagi, mereka ini tiada kawan rapat. Antaranya lagi, mereka cuba lari daripada ahli keluarga mereka, mereka sentiasa berada diluar dan dilihat aktif dengan aktiviti sosial.
  5. Bahagian yang paling akhir, itu yang paling aku takut. Terlalu sibuk dengan aktiviti luar sehingga meninggalkan keluarga. Aduh, rasa cepatnya masa berlalu. Anak-anak aku dah besar. Rasa tak puas menggomol-gomol mereka. 
  6. Balik pada kisah yang aku tengah cerita. Orang ini, sukar untuk dinasihati. Aku dan beberapa kawan aku dah cuba menasihati orang ini. Hakikatnya, sama sahaja. Dia rasa susah hati, bila ada orang lebih tahu daripada dia. Aku dah cuba nasihat supaya untuk dia cuba menghormati kelebihan orang, kau bukan tahu semua benda. 
  7. Tapi dia masih cuba menafikan. Dia cakap pengalaman mereka itu lain, itu pengalaman kerja dengan syarikat-syarikat besar. Tak sama dengan cara mengurus kediaman. Mengurus kediaman ada SOP yang berbeza. Akal mana yang dapat terima hujah ini? Orang lain fikir, nak ikut SOP yang lebih tersusun, lebih professional macam syarikat-syarikat tersohor. Dia pulak nak ikut SOP yang lebih longgar dengan beranggapan dia yang lebih betul dan itu sudah cukup professional. Susah juga macam ini.
  8. Aku dan seorang kawan dah berniat, kalau makin teruk perangai dia ini. Kami akan mengundur diri tahun depan. Kami tak sanggup nak hadap satu period dimana kami bekerja secara sukarela dengan cara kami tetapi pada masa sama kami nak hadap pula seorang yang sudah tidak berkuasa tetapi cuba mengatur sesuatu dibelakang kami. 
  9. Buat masa ini, aku hanya nak jalankan tugas. Habiskan term ini. Aku pun dah penat. Dah la aku buat benda ini secara sukarela. Aku korbankan masa dengan keluarga. Baik aku jadi macam orang lain. Tak ambil tahu, biar saja orang lain buat kerja. Aku pun ada banyak kerja lain yang aku perlu buat untuk hidup aku. 
  10. Tidak aku nafikan, ramai orang ada penyakit macam ini. Mentanglah di tempat kerja, dia ini boss, ada budak-budak kerja bawah dia. Dia balik rumah pun nak buat benda yang sama. Dia ingat kami-kami ni budak kerja bawah dia? Kita semua ada kuasa yang sama saja, ada satu vote saja. Aku tengok orang macam ini. Gelak sajalah sambil sembang meluahkan perasaan dengan bini aku. 
Sekian.


      

Tuesday, August 17, 2021

Kecemasan dan Orang Dungu

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Satu malam telah berlaku satu kematian di bangunan kediaman rumah aku. Rumah yang terjadi insiden meninggal tu, Empat tingkat atas rumah aku. Masa dia collapse tu terkejut jugak aku sebab Kishen, salah seorang komiti JMB post video dalam group whatsapp, satu orang perempuan sedang tiup angin ke mulut dan seorang lelaki sedang pam tekan di bahagian dada mangsa. 
  2. First yang aku terfikir. COVID-19! Sebab kes COVID-19 selalunya melibatkan penafasan. Aku terus whatsapp Kishen, "Bro don't touch anything & don't go into the house". Kishen jawab aku "I have to intervene lah bro. Itu orang buat CPR salah cara la". Aku jawab "Okay then, nanti you balik rumah kena terus mandi kasi bersih semualah".
  3. Dalam masa itu Kishen bagitahu semua yang keluarga tersebut sudah pun menelefon ambulan. Dikatakan ambulan sudah bergerak daripada Wangsa Maju, lebih kurang 24km daripada rumah aku. Dikira-kira 45 minit untuk sampai ke sini berdasarkan trafik pada ketika itu. Kami semua AJK JMB merasakan terlalu lambat. Jadi kami tolong telefon hospital terdekat di kawasan perumahan kami.
  4. Malangnya semua hospital swasta tidak menyediakan ambulan dan hospital kerajaan terdekat pula sedang bergelut menguruskan kes COVID-19. Akhirnya, kami terpaksa akur dan tunggu ambulan yang datang daripada Wangsa Maju. Setibanya ambulan, pegawai yang datang mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Mereka bantu telefon polis, buat laporan. Polis pun hadir dan menjalankan proses-proses yang sepatutnya. Mayat lelaki tersebut dibawa keluar daripada bangunan kediaman kami.
  5. Saya merasakan bahawa kes COVID-19 yang tinggi di Kuala Lumpur dan negeri Selangor yang mencecah 20 ribu waktu ini telah membantutkan hospital untuk tolong kes-kes kecemasan yang lain. Saya rasa malam itu sahaja kami AJK JMB telah telefon 4-5 hospital swasta dan kerajaan yang terdekat dalam lingkungan 10-15km daripada kediaman kami. Namun semuanya tidak dapat hadir membantu. Bayangkan kecemasan sebegini pun hospital tidak dapat menerima kes kami.
  6. Jadi kes COVID-19 ini benar tuan-tuan dan puan-puan. Walaupun masih ramai yang tidak percaya kerana menganggap ianya agenda yahudi, iluminati dan freemason. Ramai lagi masih tidak mendaftar untuk mengambil vaksin. Ada yang anggap vaksin tidak halal dan hanya ingin mengambil makanan yang digelar makanan sunnah berupa kurma, kismis, habbatus sauda dan lain-lain rempah ratus yang entah daripada mana. 
  7. Yang paling aku geram. Ramai yang jenis sembang pandai ni, bawak gaya-gaya ustaz dan ustazah belaka. Dengan serban jubah, dengan purdah, tudung labuh, kongsi ucapan-ucapan sentimen dengan pengaruh aqidah jabariyah yang meletakkan semuanya kepada Tuhan dan menafikan ikhtiar daripada manusia. Ada pula yang mengambil ilmu daripada lebai-lebai jahil yang menjual produk makanan atas nama sunnah dah menidakkan vaksin sebagai satu ikhtiar. 
  8. Sakit jiwa memikirkan golongan-golongan bodoh sombong macam ini. Golongan ini menimbulkan masalah dalam masyarakat dengan menjadi weak point dalam satu-satu komuniti. Mereka ini pula ramai yang buat bisnes sendiri. Dah kerajaan wajibkan pengambilan 2 dos vaksin untuk memulakan bisnes. Muncul pulak permintaan kepada pemalsuan sijil lengkap dos vaksin yang agak hangat diperkatakan. 
  9. Aku rasa kes anti-vaksin atau nama lain mereka pro-choice, selalunya jenis ala-ala ustaz dan ustazah jadian ni diketahui ramai. Satu masa, kami bersembang dengan kawan-kawan diatas talian pun ada seorang kawan aku yang jenis cakap lepas ni. Dia terus sound kawan aku yang paling ala-ala ustaz dalam kumpulan kami tu. "Orang lain aku tak syak, kalau ada anti-vaksin dikalangan kita ni, kau sorang jer yang aku syak". 
  10. COVID-19 itu benar tuan-tuan. Sekarang kerajaan menumpukan kepada aktiviti vaksinasi untuk menurunkan bilangan kes. SOP yang sedia ada sudah banyak dilonggarkan walaupun kes baharu setiap hari mencapai 20 ribu kes. Janganlah kita menjadi dungu dengan memilih antivaksin. Bacalah kitab-kitab sirah bagaimana Nabi Muhammad SAW merawat penyakit. Jangan mudah kita orang Islam ini ditipu berkenaan perkara Agama kita sendiri. 
Sekian.  

Thursday, August 5, 2021

Mulut Longkang Hidup Sorang

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Semalam aku mendapat aduan daripada penyelia pejabat pengurusan bangunan kediaman aku. 4 kali beliau telefon aku dalam masa 15 minit bertanya tentang seorang penduduk yang cuba mendapatkan kebenaran parkir secara percuma di parkir pelawat. Penduduk ini sebenarnya telah pun mendapat kebenaran parkir berikutan terpaksa menjaga ibu dan bapa yang kini duduk bersama. 
  2. Kali pertama permohonan diberikan kelulusan atas alasan ibu bapa hadir duduk bersama untuk ke pusat vaksinasi. Kemudian ibu dan bapa datang lagi untuk duduk selama 2 minggu dalam bulan Jun atas alasan untuk menjaga ibu yang perlu ke pusat dialisis. Permohonan diluluskan. 
  3. Permohonan ketiga dibuat untuk dipanjangkan kebenaran menggunakan parkir pelawat selama sebulan dalam bulan Julai kerana ibu dan bapa tidak dapat pulang berikutan PKPD. Sekarang permohonan keempat pula tiba untuk dipanjangkan lagi satu bulan dalam bulan Ogos sehingga awal bulan September.
  4. Aku bagitahu kepada penyelia bangunan. Aku akan bincang dengan komiti dan insyallah kebenaran akan diberikan tetapi ini adalah kebenaran terakhir kerana PKPD di rumah ibu bapa telah pun berakhir. Kedua, penduduk ini telah menipu kerana dia parkir kereta sendiri yang dia guna untuk pergi kerja setiap hari di parkir pelawat tingkat bawah. Dimana dia parkir kereta bapa dia? Aku tak pasti.
  5. Aku minta pengawal pergi tengok siapa parkir di parkir yang dimiliki oleh penduduk tersebut di tingkat atas. Pengawal keselamatan ambil gambar. Itu kereta suami dia. Penduduk ini pula, dia nak minta kebenaran untuk guna parkir secara percuma tapi mulut dia longkang gila. Dia ingat kami JMB ni kerja dengan dia ka?
  6. Dia kata visitor parking adalah hak dia. Kepala hotak dia! Dalam AGM semua penduduk yang hadir telah setuju setiap unit hanya punya hak 9 hari untuk menggunakan parkir visitor secara percuma setiap bulan. Sekarang dia telah guna lebih 40 hari parkir visitor secara percuma. Dia ada mesej aku secara peribadi. Sama jugak. Mulut longkang. Tapi bila dia telefon pengerusi JMB, dia menangis konon play victim.
  7. Esoknya dia call pejabat pengurusan tanya status parkir dia. Aku rasa, masa aku dengar perbualan dia dengan pengerusi. Pengerusi cakap bagi satu atau dua hari untuk komiti berbincang. Kemudian mendapatlah dia jawapan. Komiti belum buat keputusan. Dia boleh cakap "you tak perlu tunggu komiti, you call chairman terus tanya. Semalam saya dah cakap dengan dia." Wah! chairman pun kerja dengan kau ke?
  8. Orang kalau dah biasa hidup guna kabel ni macam ni la kot. Dia ingat dia punya satu call kepada pengerusi JMB boleh setel masalah dia. Orang lain pun bayar maintenance fee lah!
  9. Pengajaran dia dekat sini. Kita ni manusia hidup satu hari kita akan perlu bantuan orang. Jadi kita kena jaga mulut kita. Jangan duk cakap sebarangan. Kita jangan duk ingat di tempat kerja kita senior, ada ramai budak-budak kerja bawah seliaan kita. Balik rumah kita nak bawak pangkat kita depan orang lain. Jawatan tu tolong tinggal tempat kerja. Jangan bawak balik. Mentang-mentang budak-budak pejabat pengurusan sini semuanya muda-muda. 
  10. Menyusahkan orang. 
Sekian.