Tuesday, August 17, 2021

Kecemasan dan Orang Dungu

 Assalamualaikum w.b.t

  1. Satu malam telah berlaku satu kematian di bangunan kediaman rumah aku. Rumah yang terjadi insiden meninggal tu, Empat tingkat atas rumah aku. Masa dia collapse tu terkejut jugak aku sebab Kishen, salah seorang komiti JMB post video dalam group whatsapp, satu orang perempuan sedang tiup angin ke mulut dan seorang lelaki sedang pam tekan di bahagian dada mangsa. 
  2. First yang aku terfikir. COVID-19! Sebab kes COVID-19 selalunya melibatkan penafasan. Aku terus whatsapp Kishen, "Bro don't touch anything & don't go into the house". Kishen jawab aku "I have to intervene lah bro. Itu orang buat CPR salah cara la". Aku jawab "Okay then, nanti you balik rumah kena terus mandi kasi bersih semualah".
  3. Dalam masa itu Kishen bagitahu semua yang keluarga tersebut sudah pun menelefon ambulan. Dikatakan ambulan sudah bergerak daripada Wangsa Maju, lebih kurang 24km daripada rumah aku. Dikira-kira 45 minit untuk sampai ke sini berdasarkan trafik pada ketika itu. Kami semua AJK JMB merasakan terlalu lambat. Jadi kami tolong telefon hospital terdekat di kawasan perumahan kami.
  4. Malangnya semua hospital swasta tidak menyediakan ambulan dan hospital kerajaan terdekat pula sedang bergelut menguruskan kes COVID-19. Akhirnya, kami terpaksa akur dan tunggu ambulan yang datang daripada Wangsa Maju. Setibanya ambulan, pegawai yang datang mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Mereka bantu telefon polis, buat laporan. Polis pun hadir dan menjalankan proses-proses yang sepatutnya. Mayat lelaki tersebut dibawa keluar daripada bangunan kediaman kami.
  5. Saya merasakan bahawa kes COVID-19 yang tinggi di Kuala Lumpur dan negeri Selangor yang mencecah 20 ribu waktu ini telah membantutkan hospital untuk tolong kes-kes kecemasan yang lain. Saya rasa malam itu sahaja kami AJK JMB telah telefon 4-5 hospital swasta dan kerajaan yang terdekat dalam lingkungan 10-15km daripada kediaman kami. Namun semuanya tidak dapat hadir membantu. Bayangkan kecemasan sebegini pun hospital tidak dapat menerima kes kami.
  6. Jadi kes COVID-19 ini benar tuan-tuan dan puan-puan. Walaupun masih ramai yang tidak percaya kerana menganggap ianya agenda yahudi, iluminati dan freemason. Ramai lagi masih tidak mendaftar untuk mengambil vaksin. Ada yang anggap vaksin tidak halal dan hanya ingin mengambil makanan yang digelar makanan sunnah berupa kurma, kismis, habbatus sauda dan lain-lain rempah ratus yang entah daripada mana. 
  7. Yang paling aku geram. Ramai yang jenis sembang pandai ni, bawak gaya-gaya ustaz dan ustazah belaka. Dengan serban jubah, dengan purdah, tudung labuh, kongsi ucapan-ucapan sentimen dengan pengaruh aqidah jabariyah yang meletakkan semuanya kepada Tuhan dan menafikan ikhtiar daripada manusia. Ada pula yang mengambil ilmu daripada lebai-lebai jahil yang menjual produk makanan atas nama sunnah dah menidakkan vaksin sebagai satu ikhtiar. 
  8. Sakit jiwa memikirkan golongan-golongan bodoh sombong macam ini. Golongan ini menimbulkan masalah dalam masyarakat dengan menjadi weak point dalam satu-satu komuniti. Mereka ini pula ramai yang buat bisnes sendiri. Dah kerajaan wajibkan pengambilan 2 dos vaksin untuk memulakan bisnes. Muncul pulak permintaan kepada pemalsuan sijil lengkap dos vaksin yang agak hangat diperkatakan. 
  9. Aku rasa kes anti-vaksin atau nama lain mereka pro-choice, selalunya jenis ala-ala ustaz dan ustazah jadian ni diketahui ramai. Satu masa, kami bersembang dengan kawan-kawan diatas talian pun ada seorang kawan aku yang jenis cakap lepas ni. Dia terus sound kawan aku yang paling ala-ala ustaz dalam kumpulan kami tu. "Orang lain aku tak syak, kalau ada anti-vaksin dikalangan kita ni, kau sorang jer yang aku syak". 
  10. COVID-19 itu benar tuan-tuan. Sekarang kerajaan menumpukan kepada aktiviti vaksinasi untuk menurunkan bilangan kes. SOP yang sedia ada sudah banyak dilonggarkan walaupun kes baharu setiap hari mencapai 20 ribu kes. Janganlah kita menjadi dungu dengan memilih antivaksin. Bacalah kitab-kitab sirah bagaimana Nabi Muhammad SAW merawat penyakit. Jangan mudah kita orang Islam ini ditipu berkenaan perkara Agama kita sendiri. 
Sekian.  

No comments: